El Gamma Penumbra dari Filipina juara Asia's Got Talent
Astro Awani
Mei 15, 2015 16:50 MYT
Mei 15, 2015 16:50 MYT
Kumpulan El Gamma Penumbra dari Filipina yang membawa konsep shadow dance group dinobatkan sebagai juara rancangan Asia’s Got Talent yang berakhir semalam.
El Gamma menewaskan peserta dari Mongolia, Khusugtun dan membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai berjumlah US$100,000 (RM360,000) serta berpeluang membuat persembahan di Marina Bay Sands, Singapura.
Turut bertanding di episod akhir Asia’s Got Talent adalah The Talento (Thailand), Gao Lin & Liu Xin (China), Dance Thrilogy (Singapura), Junior New System (Filipina), Gwyneth Dorado (Filipina), Triqstar (Jepun) dan Gerphil Geraldine Flores (Filipina).
Empat juri program realiti ini iaitu komposer dan penerbit muzik terkenal David Foster, ahli kumpulan Spice Girl, Melanie C, penyanyi Indonesia Anggun Cipta Sasmi dan pelakon Taiwan, Van Ness Wu turut membuat persembahan istimewa melalui lagu Let's Groove, nyanyian asal kumpulan Earth, Wind & Fire.
Program ini turut mendapat perhatian sebelum ini apabila satu-satunya peserta dari Malaysia, Sada Borneo berjaya melayakkan diri pada peringkat saringan.
Namun, perjuangan kumpulan yang mengetengahkan permainan muzik tradisional Borneo ini berakhir di peringkat separuh akhir.
Asia’s Got Talent disiarkan di saluran AXN (Astro 701) setiap Khamis, jam 8 malam.