Eksotikata: Acara merayakan puisi lama dan baharu
Irwan Muhammad Zain
Oktober 29, 2014 21:41 MYT
Oktober 29, 2014 21:41 MYT
Satu acara yang dikenali sebagai Eksotikata akan diadakan bertujuan sebagai tanda merayakan karya-karya puisi dari penulis lama dan baharu.
Selain merayakan puisi-puisi lama dan baharu, Eksotikata, juga dianjurkan bertujuan supaya semua penulis terutama golongan muda yang meminati sastera mempunyai acara pusi sendiri, kata jurucakap Eksotikata, Aloy Paradoks.
Selain itu, acara ini juga diadakan bari meraikan penyair-penyair baharu yang banyak muncul sejak akhir-akhir ini dengan karya mereka yang tersendiri.
"Kami anjurkan Eksotika supaya kita semua terutama golongan muda yang minat sastera ada pesta puisi kita sendiri yang kool.
"Dan ia juga untuk meraikan penyair-penyair baharu yang banyak muncul sekarang, dan dalam masa yang sama respek kepada pemuisi lama.
"Sebab itu ada jemputan khas untuk penyair-penyair veteran," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, bagi menjayakan acara yang dijadualkan pada Sabtu, 1 November ini, sebuah buku bertajuk 'Eksotikata' diterbitkan yang memuatkan himpunan puisi, cerpen dan anekdot.
"Buku ini kita jual dan hasil jualan, 100 peratus kita gunakan untuk jayakan acara ini," katanya lagi.
Acara ini juga jelas Aloy bukan hanya untuk meraikan penyair atau penulis tetapi turut sama menghargai pembaca yang menyokong penerbitan karya-karya sastera tempatan.
Eksotikata yang akan bermula pukul 11 pagi dan dijadualkan berakhir pukul 11 malam merupakan kerjasama Paradoks, Sindiket Soljah, Selut Press, Projek Rabak, Studio Anai-Anai mendapat sokongan dari Persatuan Penulis Malaysia (Pena) dan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam).
Acara ini akan diadakan di Rumah Pena dan turut menyediakan 30 gerai untuk penerbit alternatif memasarkan buku-buku mereka.
Antara penyair yang akan mengambil bahagian ialah Amirudin Ali, Embun Karina, Halimi, Rayza Mukmin dan dua penyair dari Indonesia Aan Mansur serta Ghessa Ghassani selain penyanyi Anna Rafali dan Loque dari Monoloque.