Eh! kenapa ramai tak puas hati Jane Teoh ditabal Miss Universe Malaysia?
Gempak
Januari 12, 2018 12:02 MYT
Januari 12, 2018 12:02 MYT
MENYAMBUNG legasi Miss Universe Malaysia selepas Samantha Katie James, pelajar perakaunan dari Pulau Pinang, Jane Teoh ditabalkan sebagai Miss Universe Malaysia 2018 malam tadi.
Bagaimanapun, selepas Jane ditabalkan sebagai Miss Universe Malaysia, ramai yang beranggapan gadis itu tidak layak untuk menyandang gelaran itu hingga muncul perdebatan hebat di ruang komen Instagram @missuniversemalaysia.
"Jane Teoh tak yakin diri, tak banyak bercakap. Macam mana nak bersosial dengan peserta lain nanti," tulis @gregory_kiyai.
"47 tahun tanpa sebarang pencapaian, inilah masanya untuk mengubah corak permainan. Letak ketepi ego dan hantar dia ke tempat lebih baik untuk latihan," cadang @alxmcjo.
Jane, 20, mengalahkan tiga finalis lain iaitu Alexis Sue Ann Seow Su-Yin, 22, Liliana Fernandez, 20, dan Jasebel Shalani Robert, 22, yang semuanya berasal dari Kuala Lumpur.
"Saya mahu diingati sebagai seorang wanita yang boleh membawa perubahan. Impian saya selaku Miss Universe Malaysia mampu meneruskan kerja kebajikan yang saya lakukan selama ini," katanya.
Majlis yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur itu juga menyaksikan peragawati setinggi 178 sentimeter itu ditabalkan sebagai Miss Online Personality.
Jane menerima wang tunai RM50,000, hadiah tajaan bernilai RM150,000 dan biasiswa penuh dari HELP University.
Menurut Pengarah Organisasi Miss Universe Malaysia (Mumo), Datin Elaine Daly, Beauty Beyond You dipilih sebagai tema tahun ini demi memecahkan tradisi stereotaip ratu cantik untuk menjadi seorang pemimpin berjaya.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @janeteoh_