Edry memang sengaja mahu lagu Datuk Seri Vida, I Am Me jadi viral
Gempak
Julai 15, 2017 21:34 MYT
Julai 15, 2017 21:34 MYT
BELUM pun sempat muzik video rasmi single sulung Datuk Seri Vida (DSV), I Am Me dilancarkan, netizen sudah mula kecoh bercerita tentang fenomena lagu itu.
Hampir di semua media sosial, muzik video berlirik lagu I Am Me yang memaparkan aksi usahawan kosmetik itu sedang rancak dikongsikan.
Di platform YouTube sahaja, lirik video I Am Me sudah ditonton lebih 50,000 pengunjung sejak dimuatnaik dua hari lalu.
Bagi pencipta lagu itu, Edry Abdul Halim, 41, usahanya untuk menjadikan I Am Me satu fenomena viral sudah menampakkan hasil.
"DSV memang diketahui seorang individu yang sukakan perhatian, jadi saya sengaja mahu menjadikan lagu itu tular sesuai dengan imejnya.
"Selepas merakamkan lagu tema sebuah rancangan realiti sebelum ini, dia menghubungi saya baru-baru ini menyatakan hasratnya mahukan sebuah lagu berbahasa Inggeris.
"Jadi, saya ambil lirik dan melodi yang ringkas untuk menceritakan tentang cara membina keyakinan diri.
"Dirinya sendiri pun lambang keyakinan seorang wanita dan I Am Me sangat sesuai dengannya," katanya yang ditemui ketika sesi pembikinan muzik video I Am Me di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Lagu itu dirakamkan sebanyak dua kali dan telah dilancarkan di semua platform digital semalam (Jumaat).
Muzik video rasmi pula akan ditayangkan secara rasmi dua minggu dari sekarang.
Teks oleh: Amri Hassan