Eddie Wings masuk hospital gara-gara demam denggi
Gempak
Mei 4, 2018 21:38 MYT
Mei 4, 2018 21:38 MYT
GITARIS kumpulan Wings iaitu Eddie dimasukkan ke Hospital Ampang Kuala Lumpur pada Rabu lalu akibat demam denggi.
Berita itu disahkan oleh anaknya yang juga penyanyi Bila atau Nur Najmi Nabila kepada mStar.
“Benar ayah saya dimasukkan ke hospital kerana denggi sejak dua hari lalu.
“Alhamdulillah keadaannya semakin stabil dan dia berasa ralat juga sebab tak dapat hadir ke sidang media bersama Wings petang ini,” katanya.
Sebelum itu, vokalis Wings, Datuk Awie memaklumkan Eddie tidak dapat hadir ke sidang media bersempena program Nostalgia Jalan Tuanku Abdul Rahman di Hotel Premiera kerana dimasukkan ke hospital.
Dalam pada itu, Bila berkata, bapanya mengalami demam berterusan sejak seminggu lalu sebelum mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.
“Pada awalnya hairan juga kerana demamnya tak kebah-kebah sampai lemah dan tak bermaya.
“Alhamdulillah selepas dua hari dimasukkan ke hospital keadaannya semakin pulih ... tiada muntah-muntah dan selera makannya juga semakin baik,” ujarnya. - Olahan oleh: Amri Hassan/Foto: @eddiewings68, mStar