Ed Sheeran menang kes pertikaian hak cipta lagu 'Shape of You'

Agensi
April 6, 2022 18:30 MYT
Mahkamah Tinggi London memutuskan Ed Sheeran tidak menciplak lagu Oh Why dendangan Sami Chokri. - Reuters
LONDON: Mahkamah Tinggi London hari ini memutuskan bahawa penyanyi dan komposer, Ed Sheeran, tidak menciplak lagu Oh Why dendangan Sami Chokri, yang diterbitkan pada 2015.
Chokri, yang turut menggunakan nama Sami Switch, mendakwa melodi "Oh I" dalam lagu Sheeran, Shape of You, adalah sangat mirip dengan melodi "Oh why" dalam lagunya sendiri.
Sheeran menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas.
"Kebetulan pasti akan berlaku jika terdapat 60,000 buah lagu dikeluarkan setiap hari di Spotify. Ini bermakna 22 juta lagu dikeluarkan dalam setahun dan hanya ada 12 nota yang boleh dipilih untuk dijadikan sebuah lagu," katanya.
Shape of You merupakan lagu terlaris di UK pada tahun 2017 dan merupakan lagu paling banyak distrim di Spotify.
Sheeran menulis lagu tersebut bersama John McDaid dari Snow Patrol dan penerbit Steven McCutcheon, dan mereka menafikan pernah mendengar lagu Oh Why.
Hakim Antony Zacaroli memutuskan bahawa Sheeran "tidak meniru, sama ada dengan sengaja atau tidak" lagu Chokri.
Zacaroli mengakui terdapat persamaan dalam frasa satu bar dalam kedua-dua lagu berkenaan, tetapi tidak cukup untuk dianggap plagiarisme dan pelanggaran hak cipta.
#Ed Sheeran #London #Lagu #hak cipta #Sami Chokri
;