Ed Sheeran dituduh cetak rompak lagu Marvin Gaye
Astro Awani
April 26, 2023 09:15 MYT
April 26, 2023 09:15 MYT
NEW YORK: Penyanyi warga Britain Ed Sheeran tiba di Mahkamah New York bagi menghadapi tuduhan dia meniru lagu Marvin Gaye 'Let's Get it On'.
Ahli keluarga penulis bersama lagu berkenaan, Ed Townsend mendakwa, Sheeran, Warner Music Group dan Sony Music Publishing perlu membayar royalti kepada mereka akibat perbuatan itu.
Sheeran dituduh menggunakan lirik lagu Gaye dalam lagunya 'Thinking Out Loud'.
Namun, pemenang anugerah Grammy berusia 32 tahun itu menafikan dia telah meniru lirik lagu Gaye yang diterbitkan pada tahun 1973.
"Lirik itu saya sendiri yang tulis. Saya boleh jelaskan maksud di sebalik lirik itu," katanya.
Perbicaraan itu bermula pada Selasa dan dijangka akan berlanjutan sehingga seminggu.
Jika Sheeran didapati bersalah, perbicaraan akan memasuki fasa kedua bagi menentukan jumlah dia perlu membayar untuk meniru lirik lagu tersebut.