Ed Sheeran buat kameo dalam Oh My English! musim baru
Astro Awani
Mei 21, 2015 20:53 MYT
Mei 21, 2015 20:53 MYT
Rancangan hiburan berasaskan pendidikan, "Oh My English!" bakal menampilkan komposer dan penyanyi antarabangsa terkenal Ed Sheeran sebagai penampilan khas dalam salah satu episod siri itu.
Selain itu, turut ditampilkan adalah pengacara program "Gadget Nation" terbitan Astro AWANI yang juga penyampai radio Hitz Fm, Adam Carruthers.
Oh My English! yang kini sudah memasuki musim keempat akan mula menemui penonton bermula 7 Jun dengan 20 episod.
'Oh My English! Class of 2015' bakal membawa kisah pelajar Kelas 4 Merah yang akan menjejakkan kaki ke tahun senior.
Musim terbaru ini turut menonjolkan beberapa kejutan, antaranya perubahan fizikal watak Henry Middleton yang dibawakan Zain Saidin.
Penolong Naib Presiden Astro Tutor Television PT-3 dan SPM, Sharifah Noraidah Syed Ismail berkata siri "Oh My English!" masih bermatlamat menjadi pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Antara pelakon yang turut dikekalkan di dalam "Oh My English! Class of 2015" termasuk Tiz Zaqyah, Carmen Soo dan Ogy Ahmad Daud.
Beberapa watak baru turut diperkenalkan antaranya Cikgu Ariff yang dilakonkan oleh Nazrief Nazri, Bella lakonan Chacha Maembong, Sayur lakonan Azzam Sham, Zeeq lakonan Afeeq Emir dan Qila lakonan Syamiem Elnisa.
"Oh My English! Class of 2015" akan bersiaran bermula 7 Jun di Astro TVIQ saluran 610 dan Astro Maya HD saluran 135.
"Oh My English!" merupakan siri rancangan hiburan berasaskan pendidikan paling berjaya di Malaysia dengan jumlah tontonan 7.9 juta.
Ia juga merekodkan jumlah tontonan 16 juta di YouTube.