Ebby Yus ditahan seminggu di wad kerana lemah jantung

Gempak
Julai 29, 2017 13:35 MYT
Ebby Yus dikunjungi rakan-rakan artis yang melawatnya di Hospital Selayang. Foto mStar

PELAKON dan pelawak Ebby Yus ditahan kira-kira seminggu di Hospital Selayang sejak Khamis (20 Julai) lalu kerana disahkan menghidap lemah jantung.

Bagaimanapun Ebby, 52, telah dibenarkan pulang dari hospital berkenaan sejak Khamis dan kini dinasihatkan doktor untuk berehat sebelum membuat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada satu tempoh yang ditetapkan.

"Ya, baru semalam saya dibenarkan keluar setelah seminggu dirawat di Hospital Selayang. Saya mengalami kesukaran bernafas dan bengkak kaki sebelah kiri sehingga rasa begitu sakit dan sukar nak berjalan sejak tiga bulan lalu.
"Selama tempoh rawatan, doktor memberitahu jantung saya sangat lemah mengepam sehingga menyukarkan proses pembuangan air di dalam badan. Saya juga turut menjalankan pemeriksaan buah pinggang," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun katanya setakat ini doktor hanya mengesahkan dia mengalami lemah jantung dan akan membuat rawatan susulan bersama pakar di HKL untuk pemeriksaan buah pinggang.
Dalam pada itu Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, pada awalnya dia tidak mahu hebahkan berita tersebut kerana enggan ia menjadi tular seperti sebelum ini.
Namun apabila ahli jawatankuasa Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Rina Tan memuatnaik status mengenai hal tersebut ke laman Facebook rasmi Seniman, barulah ada yang tahu.
"Kalau ikutkan saya tidak mahu hebahkan perkara ini sepertimana yang pernah tular sebelum ini.
"Apa-apa pun, terima kasih kepada rakan artis yang datang melawat antaranya Wan Maimunah, Eman Manan, Caca (Raja Lawak) dan Mie Raja Lawak serta beberapa lagi rakan artis maaf kalau saya terlupa nak menyebut namanya," kata Ebby.
Tambahnya, dia kini dinasihatkan doktor agar mengawal sukatan minuman bagi mengelak masalah air berlebihan kerana jantungnya lemah untuk mengepam sebarang cecair di dalam badan.
"Sekarang saya perlu berehat, makan ubat-ubatan selain menunggu temujanji untuk rawatan susulan di IJN dan HKL mengikut tarikh yang diberi.
"Selain itu saya juga harus mengawal sukatan pengambilan air seminimum yang mungkin iaitu hanya seliter sehari," katanya yang akan menghentikan buat sementara waktu aktiviti kerja seninya.
Sama-sama doakan agar Ebby Yus sembuh seperti sedia kala.
Sementara itu, Ebby ketika ditanya siapakah yang akan menjaganya selama tempoh berehat memandangkan dia masih bujang, dia akan berehat di rumah kakaknya di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Sebentar lagi saya akan ke rumah kakak saya di Port Dickson dan beristirehat di sana sementara menunggu tarikh rawatan susulan ke IJN dan HKL dalam waktu terdekat ini," katanya.
Pada November 2015, Ebby pernah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, akibat masalah paru-paru dan jantung.
Kemudian pada 8 Febuari tahun lalu, dia sekali lagi dirawat selama seminggu di IJN atas masalah yang sama.
Sama-sama kita doakan agar kesihatan pelakon dan pelawak terkenal ini terus sembuh seperti sediakala.

Sumber: mStar Online

#Ebby Yus #Hospital Selayang #lemah jantung
;