Dunia reggae kehilangan Johnny Nash
Astro Awani
Oktober 7, 2020 13:54 MYT
Oktober 7, 2020 13:54 MYT
PEMUZIK terkenal genre reggae dan pop, Johnny Nash yang popular melalui hit I Can See Clearly Now menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua.
Berita duka itu disahkan oleh anak lelaki, Johnny Nash Jr. yang memaklumkan bapanya meninggal di rumahnya di Houston.
Sejak kebelakangan ini, tahap kesihatan Nash, 80, semakin merosot sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya.
Penyanyi yang dilahirkan di Houston, Amerika Syarikat merupakan penyanyi bukan Jamaica pertama merakam muzik reggae di Kingston, Jamaica.
Lagu I Can See Clearly Now dilaporkan ditulis ketika Nash pulih daripada pembedahan katarak dan terjual lebih daripada satu juta unit serta menduduki puncak carta Billboard Hot 100 pada 1972 dan kekal di situ selama empat minggu berturut-turut.
Nash membuat kemunculan pertama sebagai artis rakaman pada tahun 1957 dengan single A Teenager Sings the Blues.
Album studio terakhirnya adalah Here Again, dikeluarkan pada tahun 1986.
Dalam satu wawancara pada 1973, mendiang Nash berkata: "Saya merasakan muzik itu universal. Muzik adalah untuk telinga dan bukan zaman.
"Ada beberapa orang yang mengatakan bahawa mereka benci muzik. Tetapi saya tidak yakin saya mempercayainya."
Nash berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai dua orang anak.