Dunia bersedih dengan pemergian Jackie Collins
Madiha Abdullah
September 20, 2015 12:12 MYT
September 20, 2015 12:12 MYT
Berita pemergian novelis terkemuka, Jackie Collins pagi ini disambut penuh duka oleh para peminatnya.
Collins, 77, yang cukup popular di kalangan penggemar novel menerusi hasil tulisannya dalam beberapa novel terkenal, antaranya 'Hollywood Wives' dan 'Lucky', meninggal dunia selepas enam tahun bertarung dengan penyakit kanser payudara.
Penulis prolifik itu bagaimanapun menyembunyikan perihal penyakitnya daripada pengetahuan umum dan hanya mendedahkannya beberapa minggu lalu.
Di laman media sosial pula, ia dibanjiri dengan hashtag #ripjackiecollins sebagai tanda simpati dan bersedih.
Golongan selebriti juga turut berkongsi kesedihan.
Dan yang paling terkesan tentu sekali kakak Collins, Joan. Joan yang merupakan aktres terkenal Hollywood terutama dalam siri 'Dynasty', baru sahaja bertemu adiknya itu tiga hari yang lalu.
Sepanjang hayatnya, Collins telah menghasilkan lebih 30 buah novel dengan jualan mencecah lebih 500 juta unit di seluruh dunia.