'Dulu tiada sponsor sebab banyak kain, kini berebut' - Aishah nak berfesyen di GV10, bakal ada glam team

Media Hiburan
September 4, 2023 17:15 MYT
AISHAH: Saya masih menjadi diri saya. Namun, kini ada orang yang akan jagakan wardrobe dan tolong menggayakan tudung. -Media Hiburan
MESKIPUN pernah dihimpit kontroversi yang masih belum selesai sehingga hari ini, penyanyi terkenal Aishah Ariffin mendedahkan dirinya tidak serik untuk menyertai program realiti All Star Gegar Vaganza (GV10).
Menurut Aishah, masalah yang dihadapinya itu bukanlah bersama pihak Astro sebaliknya penaja yang tidak mengotakan janji.
“Kontroversi saya bukan dengan Astro tapi dengan pihak penaja. Bila sudah selesai urusan dengan penaja, semuanya okey sahaja.
“Cuma, kini hanya tinggal urusan bersama satu lagi pihak penaja sahaja yang belum selesai,” katanya kepada MH.
Ditanya mengenai strateginya untuk bersaing dengan juara-juara GV yang lain, penyanyi berusia 58 tahun ini memaklumkan dirinya hanya mahu kekal sihat untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
“Entahlah. Nak kata saya sudah siapkan strategi sangat pun tidak juga. Saya hanya mahu menyanyi dan perlu mempersiapkan diri.
“Untuk memastikan saya dapat menyanyi dengan baik, saya kena sentiasa berada dalam keadaan sihat,” ujarnya lagi.
Penyanyi lagu Janji Manismu ini berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media GV10 baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aishah turut mendedahkan dirinya bakal menampilkan kelainan dari segi fesyen dan kreativiti di atas pentas.
“Pada GV10 ini, saya nak tunjukkan kepada peminat yang saya mahu berfesyen. Dahulu, tiada sponsor yang mahu menerima saya sebab katanya baju banyak kain.
“Sekarang pula, makin berebut-rebut orang nak taja baju saya. Semasa di GV4, walaupun saya menang, saya tidak merasakan yang saya berada di dalam versi diri saya yang terbaik.
“Kita sendiri pun tahu kemampuan sebenar diri kita bila kita lebih sihat dan boleh menggayakan apa sahaja fesyen. Persaingan amat sengit dan semua peserta boleh menyanyi dengan bagus.
“Jadi, aspek-aspek lain inilah yang akan dinilai seperti penampilan, kreativiti, penghayatan dan macam-macam lagi nilai terperinci. Ini bukan sekadar pertandingan menyanyi tapi juga persembahan,” katanya lagi.
Malah, juara GV4 ini juga teruja apabila bakal menyertai GV10 bersama ‘glam team’.
“Kini saya akan ada team sendiri. Kesian juga saya. Nampak macam susah sangat masa GV4 dulu bila saya tiada team. Semua orang nampak saya datang lenggang kangkung sahaja.
“Saya masih menjadi diri saya. Namun, kini ada orang yang akan jagakan wardrobe dan tolong menggayakan tudung.
"Maknanya, kini saya sudah boleh fokus sepenuhnya terhadap nyanyian dan persembahan,” akhirinya.
Terdahulu, pada program realiti GV4, Aishah dinobatkan sebagai juara dan dijanjikan hadiah wang tunai RM100,000 selain sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta trofi.
Bagaimanapun Aishah akhirnya mendedahkan tidak mendapat hadiah sebidang tanah seperti dijanjikan hampir setahun selepas program itu berakhir.
Hal tersebut telah dibawa ke muka pengadilan dan masih belum selesai sehingga hari ini. -Media Hiburan
#Aishah #GV10 #All Star Gegar Vaganza #glam team
;