Dukun, filem biasa yang istimewa

Madiha Abdullah
April 6, 2018 10:29 MYT
Umie Aida sebagai Diana Dahlan, dukun terhandal yang seksi, jelita dan licik. -Foto Astro Shaw
HARUS diakui, penulis sememangnya penggemar filem bergenre seram dan thriller. Justeru penulis punya standard yang agak tinggi apabila menilai sesebuah filem yang bertema sedemikian.
Tetapi tatkala memenuhi jemputan menghadiri tayangan perdana filem Dukun, entah kenapa, penulis tidak membawa apa-apa expectation.
Mungkin juga dipengaruhi oleh fakta bahawa filem itu sudah terperam selama 12 tahun, menyaksikan ia akhirnya ditayangkan, sudah menjadi satu kepuasan.
Atas dasar itu, Dukun hasil arahan pengarah prolifik, Dain Said, terlihat cukup sempurna di mata penulis.
Tanpa memerlukan plot yang berselirat, Dukun mengangkat tema kegilaan segelintir golongan manusia yang berpaksikan rasa tidak puas hati, lantas memilih jalan sesat demi mencapai apa yang dihajati.
Jika ada pun kekurangan yang ketara, mungkin pada babak awal yang memperlihatkan pemberontakan suku Batak, yang kemudiannya membawa kepada keseluruhan penceritaan Dukun.
Ia babak yang signifikan, dan penulis mengharapkan ia diperjelaskan. Tidak dinafikan, ramai penonton agak terpinga-pinga kerana babak itu dibiarkan seolah-olah tiada hujung pangkal.
Namun secara keseluruhan, ia tidaklah menjejaskan perjalanan Dukun. Dan ketika anda mahu menilai aspek teknikal seperti kualiti gambar, pergerakan kamera dan sebagainya, perlu diingatkan, filem ini dihasilkan 12 tahun lalu.
Dukun merupakan antara filem terawal Dain, dan apabila perkara ini diambil kira, tidak dapat tidak, penonton akan kagum dengan visinya sebagai seorang pengarah, terutama sekali dalam meletakkan seseorang pelakon pada watak yang bertepatan.
Umie Aida sebagai Diana Dahlan -- dukun terhandal yang jelita, seksi dan manipulatif, bertuhankan iblis dan syaitan -- sememangnya tidak perlu diragui kemampuannya. Babak 'menurun' di penjara pasti akan membuatkan bulu roma anda tegak.
Dan Elyana, siapa sangka dia mampu menjadi 'kembar' Umie Aida? Dalam usia 18 tahun (ketika penggambaran dijalankan), Elyana cukup cemerlang sebagai Nadia, 'protege' Diana yang terjebak dalam dunia ilmu hitam tanpa kerelaan.
Perlu juga diberi kredit adalah pencipta lagu tema filem ini, "Merana Jiwa". Jujur, ia mungkin lagu tema paling 'berhantu' pernah dihasilkan dalam sejarah penerbitan filem.
Lupakan perkaitan watak dan plot filem ini dengan satu kejadian sebenar pada tahun 1993 itu. Sebaliknya, hargailah Dukun sebagai sebuah terjemahan kisah sebenar yang sehingga kini masih wujud dalam masyarakat kita, biarpun negara sudah jauh dibawa arus kemodenan.
Rating: 4 bintang
#dain said #DUKUN #elyana #filem #pelakon #pengarah #penjara #Umie Aida
;