'Dukun Diva' tampil seribu kelainan, papar kisah 'female con artist' pertama di Malaysia

Kenyataan Media
Disember 3, 2021 09:21 MYT
"Dukun Diva" bukan sahaja menonjolkan kualiti produksi dan sinematografi memukau, tetapi turut dilengkapi dengan jalan cerita yang segar.
ASTRO terus konsisten dalam menampilkan drama-drama premium terbaik menerusi jenama Astro Originals.
Uniknya penonton dapat menikmati konten yang berbeza dari sudut genre, olahan jalan cerita yang diinspirasikan daripada pendedahan isu-isu sebenar yang sememangnya berlaku di Malaysia.
Paling utama, ia dibawakan kepada penonton dengan kualiti terhebat setanding naskhah filem di layar-layar perak.
Bermula dengan kehadiran "Kampong Pisang Bersiri-Siri", iaitu drama pertama daripada francais filem komedi nombor 1, Kampong Pisang.
Seterusnya "Projek: Anchor SPM", drama bergenre ‘coming of age’ yang mendapat sambutan hangat dan dinobatkan anugerah Drama Bersiri Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2021.
Diikuti pula dengan "I-Tanggang", drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy, jenama Astro Originals telah meletakkan satu tanda aras dan definisi baharu bagi nilai kualiti drama tempatan dalam kalangan penonton.
Demi memastikan penonton berterusan disajikan dengan kandungan yang berkualiti, jenama Astro Originals kini bakal mempersembahkan "Dukun Diva", sebuah drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan 'anti-heroes'.
Sekali lagi, rantaian siri di bawah jenama Astro Originals tampil dengan seribu kelainan apabila "Dukun Diva" ini hadir sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan.
Ia bakal menemui penonton mulai 6 Disember, setiap hari Isnin, jam 9 malam, di Astro Citra, saluran 108.
Antara kekuatan lain adalah apabila watak utama diterajui oleh golongan wanita yang berdepan dengan cabaran kehidupan, lebih-lebih lagi di bandar pada masa kini.
Pelakon berbakat besar, Nadia Aqilah yang memang tidak disangkal lagi kekuatannya dalam bidang lakonan, membawakan watak Che Yah iaitu seorang artis ‘tak menjadi’ di era 90an, menggunakan bakatnya dengan menyamar menjadi dukun.
Sementara itu, watak Lola digerakkan dengan baik oleh pelakon muda, Eyka Farhana, iaitu anak saudara kepada Che Yah yang bermasalah dan turut bersubahat menjadi dukun.
Kedua-dua watak ini mencipta pelbagai kepercayaan dan pantang larang atas rujukan media sosial buat seorang jutawan kosmetik terkenal, Datuk DD lakonan Emelda Rosemila.
Selain itu, Dukun Diva turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baharu bagi mewarnai setiap karakter, seperti Tony Eusoff yang dilihat pertama kali membawa watak suami takut isteri serta ‘scammer’ dalam urusan jual beli tanah.
Kemudian pelakon baharu berbakat besar Siti Khadijah Halim sebagai Baby Riena, Kahoe Hon sebagai Daniel, serta pelakon handal Adlin Aman Ramlie sebagai Datuk Saddiq dan Aloy Paradoks sebagai Sarjan Anep yang merupakan kesinambungan watak daripada filem pecah panggung 2019, "Pusaka".
Drama premium bersiri ini turut dihiasi dengan penampilan istimewa, antaranya pelakon terkenal daripada pelbagai latar seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi.
Dukun Diva telah mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah muda yang namanya semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti "Shiba Shiba Doo", "Cerai" dan "Rompak Raya" iaitu Ariff Zulkarnain.
Sentuhannya juga terkenal dengan membawa impak visual yang segar di dalam hasil karyanya.
Sebelum ini Ariff merupakan Penolong Pengarah untuk filem "Sangkar".
"Dukun Diva" bukan sahaja menonjolkan kualiti produksi dan sinematografi memukau, tetapi turut dilengkapi dengan jalan cerita yang segar.
Drama siri 8 episod ini merupakan idea asal oleh pemenang anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo.
"Dukun Diva" memperlihatkan transformasi kandungan berkualiti filem berterusan di bawah jenama Astro Originals.
Mewakili Astro, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti dengan menerokai pelbagai lagi
konten segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia.
"Menjadi hasrat kami agar Astro Originals akan terus memainkan peranan yang lebih besar menjangkaui nilai hiburan dan dilihat sebagai jenama yang dapat mempersembahkan kandungan setanding drama-drama premium luar negara.
"Dalam mengutamakan penonton Malaysia meliputi semua lapisan masyarakat, kali ini 'Dukun Diva' lebih memfokuskan konteks “Malaysian” dari sudut skrip, jalan cerita, idea, pelakon, sinematografi agar drama ini dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar.
"Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima oleh segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar.
"Ini kerana kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka, dan sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara.”
“Ini adalah julung kali Astro Originals mempertaruhkan bakat-bakat kreatif tanah air seperti Alfie Palermo, Pengarah Ariff Zulkarnain, serta pelakon-pelakon hebat, Nadiah Aqilah, Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie dan bakat baru Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon.
"Uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan.
"Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton.
"Di samping itu, jenama Dukun Diva telah menarik perhatian produk tempatan untuk bekerjasama bagi menghasilkan produk eksklusif edisi 'Dukun Diva' dari pengusaha lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pembekal coklat tempatan jenama Love18C,” jelas Raja Jastina Raja Arshad.
#Astro #Astro Originals #Dukun Diva #Raja Jastina Raja Arshad
;