Dukun dipertikai, Umie Aida luah rasa sedih
Sinar Harian
April 4, 2018 22:55 MYT
April 4, 2018 22:55 MYT
AKTRES berbakat besar, Datin Paduka Umie Aida mengakui sangat sedih apabila ada individu di dalam industri telah membuat penilaian tanpa menonton filem lakonannya terlebih dahulu.
Ini berikutan kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan klasifikasi yang diberikan kepada Dukun kerana ia dikatakan boleh memberi kesan negatif kepada penonton di bawah 18 tahun.
"Adakah filem ini menyuntik semangat atau melahirkan semangat anda untuk menjadi dukun? Jawapannya tidak.
"Bila orang menonton nanti mereka akan faham.
"Tapi bila kata-kata keluar dari orang industri sendiri tentang filem ini mungkin larikan akidah, mungkin lahirkan lebih ramai lagi dukun, saya sangat sedih kerana mereka bercakap tanpa menonton filem ini.
"Saya lebih sedih kalau yang bercakap itu adalah kawan saya," ujarnya kepada Sinar Harian.
Umie Aida ditemui selepas tayangan filem Dukun di TGV Suria KLCC petang tadi.
Tambah aktres yang pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik ini, filem Dukun sebenarnya memaparkan kisah yang boleh menjadi teladan buat semua.
"Filem ini ada pengajarannya. Ia memperlihatkan bagaimana bila seorang manusia inginkan sesuatu tetapi tidak meminta kepada ALLAH SWT.
"Sebaliknya dia minta sesuatu dari dukun dan bila minta pada tempat yang salah, itulah balasan yang diterima dan itulah jalan cerita filem ini," jelasnya.