#DuitRayaMovement, netizen lancar kempen beri duit raya pada pekerja tol, jaga dan barista
Gempak
Jun 10, 2019 08:29 MYT
Jun 10, 2019 08:29 MYT
MASIH belum terlambat untuk anda bersedekah dan menyebarkan kebaikan apabila netizen kini melancarkan kempen beri duit raya pada golongan yang bekerja.
Tular di Twitter dua hari lalu, kempen yang dilancarkan oleh pemilik akaun @amin_jameam ini menyeru netizen memberikan duit raya kepada pekerja tol, pengawal keselamatan dan barista.
Menerusi satu video yang dikongsi, dia memberikan duit raya pada seorang barista setelah mengambil minuman yang dipesan.
BACA:
Video berdurasi 10 saat itu jelas menunjukkan wajah terkejut dan tersenyum barista tersebut setelah menerima duit raya.
Menggunakan tanda pagar #DuitRayaMovement, dia turut menyeru agar netizen lain berkongsi gambar atau video menyerahkan duit raya agar kempen positif ini trending.
Menerusi entri tersebut juga, ada beberapa netizen turut menyahut kempen itu dengan berkongsi video memberi duit raya kepada pekerja drive thru McDonald’s dan Baskin Robins.
Video itu sehingga kini mendapat hampir 400,000 tontonan dan 16,000 perkongsian.
Tidak kisah berapa jumlah terselit di dalam sampul raya, asalkan anda ikhlas.
Pasti ia dapat memberi kegembiraan dan mengukir senyuman pada mereka yang terpaksa berkorban masa demi mencari rezeki yang halal.