Dua penari balet Rusia bakal pukau penonton di Malaysia

Irdina Ishak
September 13, 2023 13:30 MYT
Dua bintang balet terkemuka dari Rusia, Vitally Amialishka dan Nika Tskhvitariia akan beraksi dalam persembahan FreedBallet di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 30 September ini.
KUALA LUMPUR: Bagi peminat balet, yang ditunggu-tunggu semasa konsert tentunya persembahan klasik penari dengan lenggok berseni, tata rias mempesona dan busana cantik pandangan mata.
Dan inilah yang dijanjikan oleh dua bintang balet terkemuka antarabangsa dari Rusia iaitu Vitally Amialishka dan Nika Tskhvitariia dalam persembahan FreedBallet di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada 30 September ini.
Mempamerkan kepakaran dalam dunia balet, Vitally dan Nika semasa ditemui Astro AWANI baru-baru ini berkata, peminat balet boleh menantikan keunikan tarian semasa mereka membuat persembahan nanti.
"Pada persembahan nanti, ia akan dilengkapi bunyi kontemporari dan dipertingkat dengan pertunjukan cahaya direka khas yang bakal memukau pengunjung. Ini saya boleh beri jaminan, kerana saya dan Nika akan cuba menyuntik unsur kemodenan tanpa melupakan sentuhan klasik balet itu sendiri dalam persembahan kami,'' kata Vitally.
Sementara itu, mengakui berdebar-debar, Nika pula berkata, beliau begitu gembira untuk menghiburkan peminat balet di Malaysia.
"Walaupun pertama kali di negara yang begitu cantik seperti di Malaysia, dengan pentas yang begitu hebat di Dewan Plenari KLCC, saya dan suami (Vitally) begitu teruja menantikan tarikh 30 September ini,'' ujar ibu kepada seorang anak ini.
Vitally dan Nika senada bahawa, selain dapat menghiburkan peminat, Freedballet bertujuan menyatupadukan semua pihak atas nama keamanan dan kebaikan.
Bercerita lanjut mengenai FreedBallet, Vitally berkata, ia akan dipenuhi dengan pengalaman hidup dan emosi pencipta melalui karya muzik klasik yang dipersembahkan secara moden.
"Persembahan FreedBallet nanti dibahagikan kepada dua slot iaitu 50 minit pertama dengan persembahan 'Swan Lake' diiringi muzik oleh Pyotr Tchaikovsky. Manakala, Slot 50 minit kedua pula adalah 'Don Quixote' dan 'Scheherazade' yang mengisahkan sejarah perjalanan dunia seni klasik balet. ini," katanya.
Seni dan Budaya: Pesona budaya dalam karya tari Freedballet
Nika pula menambah, dalam Swan Lake itu sendiri ia menceritakan dua perwatakan yang berbeza seperti putih dan hitam, atau baik dan buruk dengan dan beliau sentiasa menghayati kedua-dua perwatakan tersebut bagi menjiwai lagu berkenaan dalam usaha memastikan penonton serta peminat balet merasai emosi dikongsikannya.
Sementara itu, Pengarah Megatix, Ridzuan Mohammad pula berkata, dengan projek dengan dua artis balet dari Rusia ini sudah terjalin lama tetapi ini julung kali FreedBallet dibawa ke negara ini oleh Megatix Malaysia dengan kerjasama serta sokongan kerajaan dan Kedutaan Rusia di Malaysia.
“Sebelum ini, kami pernah bekerja dengan Vitally bagi konsert di Indonesia dan di situlah tercetusnya idea untuk membawa masuk budaya seni Rusia ke sini, khusus bagi para peminat balet di Malaysia.
"Jadi, peminat balet perlu memanfaatkan peluang untuk menyaksikan persembahan FreedBallet ini yang memaparkan pencapaian terbaik dan cemerlang dalam sejarah pencipta balet, seni klasik terhebat dunia," ujar beliau.
Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan persembahan ini, tiket-tiket boleh dibeli dengan melayari laman web menerusi pautan, https://megatix.my/events/freed-ballet.
#balet #penari balet Rusia #FreedBallet #Dewan Plenari KLCC
;