Dua kali tunda majlis perkahwinan, Idris Khan nafi putus dengan kekasih
Gempak
Mei 1, 2018 18:09 MYT
Mei 1, 2018 18:09 MYT
PELAKON Idris Khan nafi sudah putus dengan kekasihnya Sanaa Jeljalane, 27 tahun selepas dua kali menunda majlis pernikahan.
Menurut Idris, 30 tahun, dia masih mencari tarikh baru dan memutuskan untuk melangsungkan majlis itu hujung tahun ini.
"Kami masih bersama. Macam saya pernah katakan sebelum ini, kalau ada tarikh baru saya akan berkongsi kepada semua.
"Cuma, buat masa sekarang saya masih mencari waktu sesuai ditambah pula ada beberapa perkara lain yang perlu diselesaikan termasuk urusan dokumentasi bakal isteri yang berasal dari Maghribi.
"InsyaAllah, kalau segalanya dipermudahkan saya merancang untuk bernikah hujung tahun ini atau awal tahun depan. Apa yang pasti, majlis tetap ada.
"Apa pun, saya berharap peminat mendoakan yang baik-baik saja untuk saya dan pasangan," katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, Idris mendedahkan dia sepatutnya berkahwin hujung tahun lalu sebelum menunda ke 20 Januari tahun ini.
Bakal berkahwin dengan gadis Maghribi, pada awalnya Idris mahu melangsungkan pernikahan di sana.
Tapi selepas memikirkan banyak perkara dan mendapat nasihat keluarga, dia mengambil keputusan untuk nikah di Malaysia.