Dua kali terima Anugerah Dekan, Aril mahu sambung PhD

Gempak
November 2, 2016 08:21 MYT
ARIL: "InsyaAllah jika ada peluang saya mahu melanjutkan pelajaran saya pula ke peringkat lebih tinggi, yelah saya pun teringin juga nak ada gelaran Dr."
PENYANYI Aril merancang untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) sebaik tamat pengajian Bachelor Creative Industry Management (BCIM) di Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL).

Aril yang baru sahaja menerima Anugerah Dekan kali kedua di UUMKL pagi tadi memberitahu dia berhasrat untuk menyambung pengajiannya kerana teringin untuk bergelar doktor falsafah (Dr.)

"Alhamdulilah ni sudah kali kedua saya menerima Anugerah Dekan setelah tiga semester belajar di sini.

"Saya amat gembira kerana hasil usaha saya sebelum ini akhirnya berbaloi.

"Selama ni pun saya memang fokus dengan pelajaran saya dan mahu mendapat keputusan yang terbaik untuk setiap semester.

"InsyaAllah jika ada peluang saya mahu melanjutkan pelajaran saya pula ke peringkat lebih tinggi, yelah saya pun teringin juga nak ada gelaran Dr," katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi.

Aril bakal menamatkan pengajiannya dalam ijazah sarjana itu dalam masa tiga tahun lagi.

Dalam pada itu, Aril berpendapat pelajaran perkara yang penting untuk semua orang walapun bergelar artis.

"Bagi saya pelajaran itu penting kerana sebagai seorang artis kita disanjung dan menjadi idola ramai.

"Jadi perlu untuk kita menyiapkan diri dengan ilmu di dada supaya tidak dipandang rendah oleh sesetengah pihak," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain Aril kini mengacarakan program CCTV yang bersiaran setiap hari Isnin jam 11 malam di Astro Ria dan Ria HD.

#Akademi Fantasia #Aril #Astro Ria #pengacara CCTV #Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur #UUMKL
;