Dua dekad dalam industri, Liza Hanim umum konsert solo pertama tahun hadapan
Asyraf Roslan
Oktober 30, 2023 17:47 MYT
Oktober 30, 2023 17:47 MYT
SHAH ALAM: PENYANYI Liza Hanim mengumumkan bakal mengadakan Liza Hanim 27 Years Journey In Concert dan merupakan konsert solo pertamanya pada tahun hadapan.
Perkara tersebut diumumkannya selepas habis membuat persembahan di konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu keenam malam tadi.
Menurut pelantun Tragedi Tenda Biru ini, beliau sudah lama mahu mengumumkan mengenai perkara tersebut (konsert) yang akan membawa perjalanannya selama 27 tahun dalam industri seni suara.
“Sebenarnya sudah lama tunggu untuk umumkan pasal konsert ini, in fact ada juga yang dah tahu.
"Ini merupakan konsert solo saya yang pertama dan saya juga sangat berbesar hati kerana yang akan produce konsert ini adalah suami saya (Shah Indigo).
“Saya sangat teruja untuk membuat konsert ini. Ramai yang menantikan dan kalau boleh saya ramai peminat saya hadir ke konsert itu nanti kerana ia akan menceritakan perjalanan karier saya selama 27 tahun.
"Saya sangat gembira sebab akhirnya impian saya dapat direalisasikan,” ujarnya ketika ditemui media.
Pada masa sama, anak didik komposer tersohor Allahyarham Adnan Abu Hassan itu turut menyatakan bahawa pembikinan konsert ini sudah lama dirancang, namun masanya belum tiba sehinggalah pengumuman itu dibuat.
“Sebelum ini konsert memang sudah ada dalam perancangan, tapi siapalah kita bila yang satu kata belum lagi.
“Tapi saya rasa menuju ke konsert ini perjalanannya sangat cantik, semuanya dipermudahkan. Adanya Gegar Vaganza dan sebagainya jadi saya sangat bersyukur,” tambahnya.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert dijangka berlangsung selama dua jam pada 4 Februari 2024 di Zepp KL.
Tiket-tiket berharga RM228 (CAT 3), RM288 (CAT 2), RM358 (CAT 5), RM388 (CAT 1), RM398 (CAT 4), RM8,000 (VIP BOX) dan RM189 (MEET & GREET) boleh dibeli menerusi www.myticketempire.com