Dramatis Cinta Tiada Ganti meninggal dunia

Gempak
Ogos 12, 2018 19:47 MYT
Meninggalkan lima orang anak serta suami, jenazah Nurin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bangko, Jalan Kuching. - Gambar fail
DRAMATIS yang membawakan watak pembantu dalam drama bersiri Cinta Tiada Ganti, Nurin Misha, 52, menghembuskan nafas terakhir akibat sesak nafas.
Nurin atau nama sebenarnya, Nor Amisah Abdullah dipercayai menghidap penyakit tonsil sejak beberapa minggu lalu dan meninggal dunia di kediamannya yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Meninggalkan lima orang anak serta suami, jenazah Nurin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bangko, Jalan Kuching.
Beberapa orang selebriti seperti Zulin Aziz, Datuk Adi Putra dan pengarah Eoon Shuhaini bersedih dengan pemergian Nurin dan berkongsi khabar tersebut di laman Instagram masing-masing.
Dalam drama bersiri tersebut, Nurin membawakan watak sebagai ibu kepada Shane lakonan Syamim Farid.
Selain Nurin dan Syamim, siri Cinta Tiada Ganti turut dibintangi oleh Aedy Ashraf, Nelydia Senrose, Hafidz Roshdi, Ben Amir, Rusdi Ramli, Adam Shadan, Datuk Fizz Fairuz, Marisa Yasmin, Dian P. Ramlee, Wan Sharmila, Sweet Qismina, Emelda Rosmila dan Octovia Manrose.
Karya adaptasi drama popular Filipina, Sana’y Wala Nang Wakas itu disiarkan selama sejam di slot Tiara, saluran Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang dan diterbitkan sebanyak 100 episod oleh syarikat produksi, Global Station Sdn. Bhd. - Sumber: Utusan & Media Hiburan
#dramatis #jenazah #meninggal dunia #Nor Amisah Abdullah #Nurin Misha #pelakon
;