Drama "Selfie Paknil di LA"
Syazwan Zakariah
Februari 1, 2015 11:28 MYT
Februari 1, 2015 11:28 MYT
Ramai peminat teruja apabila mengetahui Datuk Aznil Hj. Nawawi berpeluang untuk menemubual nama-nama besar Hollywood, antaranya Kim Kardashian dan Giuliana Rancic, dalam kunjungannya ke Los Angeles, awal Januari lalu.
Bagaimanapun, sebelum momen-momen indah itu tercipta, Aznil atau mesra dipanggil Paknil, terpaksa berdepan dengan beberapa ‘drama’ seperti kerosakan kapal terbang dan kehilangan bagasi.
Semua ini dapat disaksikan menerusi sebuah program khas, “Selfie Paknil di LA” yang bakal disiarkan mulai Ahad ini, 1 Februari, pada pukul 8.30 malam di Astro Ria dan Maya HD.
Program terbitan Syazwan Zakariah itu dibahagikan kepada dua episod.
“Saya hampir menarik diri dari tugasan itu apabila diberitakan kapal terbang yang saya naiki mengalami masalah teknikal.
“Dengan pelbagai tragedi udara yang berlaku sebelum ini, saya tiba-tiba jadi risau,” kata Paknil yang terpaksa menukar pesawat untuk meneruskan perjalanan.
Beliau ke sana atas jemputan NBC Universal untuk sidang media bagi memperkenalkan musim terbaru program “Live From The Red Carpet”, “Keeping Up with the Kardashians”, “Fashion Police” dan “Christina Milian Turned Up”.
Kerana ditugaskan ke sana berseorangan, Paknil mendapat ilham untuk merakamkan pengembaraannya hanya menerusi telefon bimbit.
Ujar Paknil, “Saya sudah membayangkan ia bakal menjadi satu program yang amat unik kerana ia dirakamkan dari pandangan mata saya sendiri. Saya mahu berkongsi pengalaman saya di sana, selain paparan temuramah bintang-bintang ternama”.
Selain Kim dan Giuliana, Paknil turut berpeluang berinteraksi dengan Christina Milian serta barisan hos program Fashion Police seperti Kelly Osbourne, Brad Goreski dan Ryan Seacrest.
“Selain mendapat jolokan ‘Ryan Seacrest Malaysia’, saya juga diberikan peluang untuk menjadi hos di set program “E! News”. Pengalaman yang sangat berharga dan mengujakan!”, tambah beliau.