Drama Liar kukuhkan lagi jenama Astro Originals
Astro Awani
Mac 30, 2023 10:30 MYT
Mac 30, 2023 10:30 MYT
SELEPAS kejayaan dan fenomena luar biasa drama premium High Council, Astro Originals mengukuhkan lagi jenamanya sebagai jenama terbaik dalam mempersembahkan kandungan berkualiti menerusi naskhah terbaru bertajuk Liar.
Naskhah Liar merupakan adaptasi antarabangsa daripada calon siri thriller terbaik di BAFTA Awards dan
British Screenwriters’ Award.
Liar diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Double Vision dan All3Media Internasional.
Siri asal Liar merupakan terbitan Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada tahun 2017.
Liar mengangkat genre thriller yang meneroka tema stereotaip jantina, kekeluargaan serta
penipuan.
Drama hebat ini telah berjaya meraih jumlah tontonan paling tinggi tujuh juta, sekali gus mencatatkan jumlah terbesar bagi drama baru yang pernah ditonton di ITV sejak 2014.
Karya ini juga ditayangkan di Australia dan New Zealand.
Menariknya, Liar turut mempunyai versi remake dari Sepanyol pada tahun 2020 menggunakan tajuk ‘Mentira’s, versi Jerman menggunakan tajuk ‘Du Sollst Nicht Lügen’ serta negara lain yang membuat remake adalah Perancis, Itali dan Turki.
Sinonim dengan jalan cerita yang penuh plot twist dan watak-watak yang menonjol sehingga berjaya
mencetus keterujaan penonton pada setiap episod, Liar mengisahkan dua insan yang bertemu dalam sebuah temu janji, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada keesokan hari.
Seorang telah memperdaya, manakala seorang lagi diperdaya. Kerana kuasa, penipuan
mampu memadamkan kebenaran.
Liar membariskan pelakon-pelakon hebat negara seperti Tiz Zaqyah, Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah,
Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiya Nisaa, Atilia Haron, Nazrief Nazri, Haridhass Selvaraju,
Naz Rahman, Nas-T, Aniq Suhair, Farah Ahmad, Joyce Harn dan Charles Roberts.
Sementara pengarah Liar terdiri daripada Jason Chong, Imri Nasution dan Lim Siu Min.
Drama berdurasi satu jam ini mula ditayangkan sejak 25 Mac lalu iaitu pada setiap hari Sabtu, bermula jam 12 tengah malam di platform On Demand atau Astro Go.
Sementara, bermula 3 April ini pula, Liar akan mula menemui penonton di saluran Astro Ria, pukul
9 malam.
Mengulas penerbitan drama Liar, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Originals sentiasa berusaha meningkatkan kualiti sekali gus menampilkan kandungan yang mampu mencipta penanda aras baharu.
“Rentetan kejayaan drama-drama Astro Originals, kami berusaha meningkatkan kualiti sekali gus dapat menampilkan kandungan yang mampu mencipta penanda aras baru dan memberi impak kepada industri seni negara.
“Terbaharu adalah Liar yang diadaptasi daripada calon siri terbaik luar negara dan kami rasa amat teruja untuk mempersembahkannya dalam versi dan format Malaysia. Ini merupakan kali pertama Astro Originals mempersembahkan naskhah adaptasi dan kami memilih naskhah Liar,” kata Raja Jastina yang juga Penerbit Eksekutif Liar dalam kenyataan yang dikeluarkan.
* Drama premium Liar mula ditayangkan 25 Mac lalu (Sabtu) bermula pukul 12 tengah malam di
platform On Demand atau Astro Go.
** Tayangan di Astro Ria pula bermula 3 April ini (Isnin) pukul 9 malam.
*** Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sosial, Instagram, TikTok, Twitter, Facebook
Astro Shaw atau Astro Gempak.