Drama Jepun 'Shogun' cipta sejarah, rangkul 18 trofi di Anugerah Emmy ke-76

Agensi
September 16, 2024 19:10 MYT
Kejayaan itu memadamkan rekod sebelum ini, siri mini John Adams yang memenangi 13 trofi pada 2008 dan siri Game of Thrones (12 trofi pada 2015, 2016 dan 2019). -Gempak
DRAMA sejarah Jepun, Shogun mencipta rekod baharu apabila menang 18 trofi di Anugerah Emmy ke-76 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Ringkasan AI
  • Drama sejarah Jepun, Shogun, memenangi 18 trofi di Anugerah Emmy ke-76, memecahkan rekod siri mini John Adams dan Game of Thrones.
  • Shogun menjadi siri drama bukan Bahasa Inggeris pertama yang memenangi kategori Siri Drama Terbaik.
  • Pelakon Hiroyuki Sanada dan Anna Sawai menjadi pelakon Jepun pertama yang menang dalam kategori masing-masing, dengan Sanada juga bertindak sebagai penerbit bersama.

Kejayaan itu memadamkan rekod sebelum ini, siri mini John Adams yang memenangi 13 trofi pada 2008 dan siri Game of Thrones (12 trofi pada 2015, 2016 dan 2019).
Bahkan, Shogun turut memenangi Siri Drama Terbaik dalam anugerah itu, juga siri drama bukan Bahasa Inggeris pertama memenangi kategori berkenaan.
Pelakon siri tersebut, Hiroyuki Sanada dan Anna Sawai merupakan pelakon Jepun pertama yang menang dalam kategori masing-masing.
“Saya amat berbesar hati untuk berada di sini dengan calon yang hebat.
“Terima kasih untuk semua pelakon dan kru ‘Shogun,’ saya sangat berbangga dengan anda,” kata Sanada dalam ucapannya.
“Ia adalah projek impian 'Timur bertemu Barat', dan 'Shogun' mengajar saya bahawa apabila kita bekerja bersama, kita boleh membuat keajaiban,” tambah Sanada.
“Kita boleh mencipta masa depan yang lebih baik bersama-sama,” katanya lagi.
Selain memainkan watak utama Lord Yoshii Toranaga, yang berdasarkan kepada kehidupan sebenar Tokugawa Ieyasu, Sanada merupakan penerbit bersama "Shogun".
Memetik laporan Japan Times, aktor berusia 63 tahun itu merupakan pelakon veteran dengan kerjaya hampir enam dekad merangkumi filem dan televisyen di Jepun dan Hollywood.
Menerusi pengalaman yang ada, beliau membawa kepakarannya ke set bagi memberikan gambaran tepat berkaitan orang Jepun pada abad ke-17.
Kemenangan bersejarah itu ternyata mengejutkan semua kru drama tersebut.
“Saya menangis sebelum nama saya diumumkan,” kata Sawai kepada penonton ketika berucap di atas pentas.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada pencipta rancangan Rachel Kondo dan Justin Marks kerana memberikannya peluang, Sawai turut melahirkan penghargaannya kepada Sanada.
“Terima kasih kerana membuka pintu dan terus membuka pintu untuk orang seperti saya,” katanya.
#Shogun #drama #Anugerah Emmy #Jepun
;