Drama Adam Dan Hawa mungkin difilemkan

Astro Awani
Januari 10, 2013 06:25 MYT
Mencipta fenomena sebagai drama paling popular, penerbit "Adam Dan Hawa" tidak menolak kemungkinan ia difilemkan. Siri yang ditayangkan di saluran Mustika HD itu berakhir malam tadi.
Penerbitnya, Global Station bakal mempertimbangkan permintaan dan keadaan jika "Adam Dan Hawa" ingin dibawa ke layar perak.
“Sesuatu yang baik itu satu permulaan dan buat masa ini saya masih tidak dapat memberi kata putus. Jika ada rezeki, kenapa tidak?” jawab Datin Zaiton Mohamed Jiwa kepada pemberita.
Bersiaran selama 80 episod, pelakon utamanya, Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa mengakui tersentuh apabila fenomena "Adam Dan Hawa" tiba ke penghujung.
“Saya rasa lega dan dalam waktu yang sama berasa agak sedih. Saya berharap drama Adam Dan Hawa ini dapat ditayangkan di saluran biasa yang bukannya saluran premium selepas ini.” tambah Aaron Aziz.
“Saya rasa lega kerana dapat kembali ke dunia nyata. Selepas 5 bulan menjalani penggambaran dan lebih 6 bulan ia ditayangkan kepada umum, saya cukup lega.” tambah Nadiya Nisaa’.
Episod terakhir "Adam Dan Hawa" ditayangkan pada pukul 10 malam tadi di saluran Mustika HD.
Selepas ini, sebuah lagi drama bersiri terbitan Global Station, "Sehangat Asmara" bakal mengambil alih slot tersebut.
#Aaron Aziz #Adam dan Hawa #Nadiya Nisaa
;