Drake pecah rekod Adele di Billboard Music Awards

Syafik Shukri Jalil
Mei 22, 2017 17:19 MYT
Rekod tersebut berjaya dipecahkan oleh Drake malam tadi yang berjaya menggondol 13 anugerah daripada 22 pencalonan untuk anugerah sama edisi tahun ini. - Gambar AP
TAHUN 2012 menyaksikan Adele mencipta sejarah dengan mencatat 12 kemenangan di Billboard Music Awards.
Namun rekod tersebut berjaya dipecahkan oleh Drake malam tadi yang berjaya menggondol 13 anugerah daripada 22 pencalonan untuk anugerah sama edisi tahun ini.
Drake memenangi beberapa anugerah antaranya Top Artist, Top Male Artist, Top Billboard 200 Album dan banyak lagi.
Billboard Music Awards yang diadakan di T-Mobile Arena, Las Vegas itu menyaksikan, Drake menerima saingan sengit daripada beberapa nama besar lain antaranya Beyonce, Justin Bieber, Rihanna, Adele dan Arianna Grande bagi kategori Top Artist.
Selain pencapaian gemilang Drake, malam Billboard Music Awards turut diserikan dengan persembahan hebat daripada Nicki Minaj, Ed Sheeran, Miley Cyrus, Cher, Celine Dion dan beberapa nama besar lain.
Celine Dion tampil elegan, menyanyikan lagu berhantunya, My Heart Will Go On daripada filem Titanic, yang menyambut ulang tahun ke-20 tahun ini.
Pada anugerah sama, Beyonce dan Twenty One Pilots masing-masing memenangi lima anugerah manakala The Chainsmokers pulang dengan empat anugerah.
#Adele #Beyonce #Billboard Music Awards #Celine Dion #Drake #Justin Bieber #Titanic
;