Dr Sheikh Muszaphar syukur, isteri selamat bersalin anak ketujuh
Gempak
Julai 13, 2023 17:57 MYT
Julai 13, 2023 17:57 MYT
ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan isteri, Dr Halina Mohd Yunos selamat menimang cahaya mata ketujuh.
Berita gembira itu dikongsi beliau menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya.
Menurut Sheikh Muszaphar, bayi lelaki dan isterinya berada dalam keadaan sihat.
“Dilahirkan pada 12 Julai 2023, berat 2.98 kg, mommy dan baby berada dalam keadaan sihat dan menyusu badan.
“Alhamdulillah, syukur sangat. Terima kasih kepada anda semua yang memberikan doa,” maklumnya.
Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar juga telah memilih nama untuk anak ketujuhnya iaitu Sheikh Muhammad namun anak-anaknya memohon untuk adik mereka memiliki nama lain.
“Sheikh Muhammad, nama yang dipilih. Demi cinta Nabi kita yang terakhir. Tetapi anak-anak mahukan nama lain.
“Noah mahukan Ibrahim, Tasha mahukan Isaac, Adam nak Adam Junior. Eusoff dan Emelia baik dengan mana-mana nama.
“Hanya Bella yang bersetuju dengan nama itu. Masing-masing dengan pemikiran yang berbeza. Buat masa ini panggil dia little Sheikh,” tulisnya.
Terdahulu, Sheikh Muszaphar dan Dr. Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan itu, pasangan romantik ini dikurniakan enam anak iaitu Sophea Isabella, 10, Sophea Natasha, 8, kembar lelaki berusia empat tahun iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah serta kembar lelaki dan perempuan, Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia yang dilahirkan pada November 2020. -- Gempak