Donald Trump diarah henti guna lagu Aerosmith
Agensi
Ogos 23, 2018 20:00 MYT
Ogos 23, 2018 20:00 MYT
VOKALIS band rock, Aerosmith, Steven Tyler meminta agar Presiden Donald Trump berhenti memainkan lagu-lagu band itu di mana-mana perhimpunan, seperti perhimpunan yang diadakan di Charleston Civic Center, West Virginia, pada Selasa.
Portal NBC melaporkan Tyler telah menghantar surat melalui peguamnya, Dina LaPolt, ke White House, mendakwa Trump telah melanggar undang-undang secara sengaja dengan memainkan lagu itu.
Lagu dendangan Aerosmith, Livin' on the Edge, dimainkan sebagai meraikan ketibaan Trump di dewan berkapasiti 13,500 orang itu.
"Penyiaran lagu itu memberi tanggapan seolah-olah klien kami telah memberikan persetujuannya untuk lagunya dimainkan, dan menghantar mesej seolah-olah klien kami menyokong Trump," kata LaPolt menerusi surat itu.
Tyler menerusi Twitter menegaskan, dia tidak mahu lagunya dimainkan bukan atas alasan politik, sebaliknya melindungi hak cipta.
"Ini bukan tentang politik, Demokrat lawan Republikan. Ini soal hak cipta, sesuatu yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi," tulisnya.