Doktor ramal Ibnor Riza ada enam bulan untuk hidup

Sinar Harian
September 1, 2023 19:48 MYT
Ibnor sah dijangkiti kanser selepas diperiksa doktor susulan bengkak pada leher.- Gambar fail/Gempak
PENYANYI popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, diramal hanya ada enam bulan untuk hidup.
Memetik laporan Berita Harian, penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu bagaimanapun tidak putus semangat meneruskan ikhtiar melawan penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapi.
Ibnor percaya, soal ajal dan maut sudah ditetapkan ALLAH. Justeru, dirinya tidak mahu terus mengalah dan berputus asa, sebaliknya, gagah berjuang untuk hidup.
Ibnor yang menghidap kanser sejak sembilan bulan lalu memberitahu, selagi dirinya mampu berusaha, dia akan terus melawan penyakit itu.
“Kalau hendak difikirkan apa yang doktor cakap, saya ada hanya enam bulan untuk hidup, saya jadi sedih. Doktor berterus-terang selepas rawatan kemoterapi kesembilan, baru-baru ini gagal.
“Jadi, maknanya saya hanya ada enam bulan untuk hidup, tetapi saya tidak mahu pegang kata-kata itu. Saya percaya kepada ALLAH. Kanser ini, kita kena lawan.
“Lagipun, saya ada keluarga dan anak. Mereka perlukan saya. Dengan sokongan yang diberi, takkan saya hendak hampakan ramai orang. Saya kena kuat walaupun saya tidak sekuat mana pun sekarang ini,” katanya.
Berkongsi tahap kesihatannya sekarang, Ibnor memberitahu, dia perlu menjaga emosi dan pemakanan bagi mengelakkan tekanan.
“Saya tidak boleh stres. Jika tertekan, kelenjar pada leher akan membengkak. Jadi, saya kena selalu jaga emosi. Sebab itulah, saya mahu cepat lakukan rawatan kemoterapi. Apa yang bahaya sekarang adalah jika sel kanser hampir ke otak.
“Kalau sel kanser pergi ke otak, tidak boleh buat apa-apa. Kanser saya dalam darah. Kita tidak boleh kawal kanser itu merebak,” ujarnya.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor disahkan menghidap pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk.
Ibnor sah dijangkiti kanser selepas diperiksa doktor susulan bengkak pada leher.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Ibnor Riza #kanser limfoma #Mimpi Yang Tak Sudah #sel kanser sampai ke otak
;