'Doakan saya ... ' Radin Era positif COVID-19

Sinar Harian
Februari 23, 2022 12:13 MYT
Radin memohon mereka yang menjadi kontak rapat dengannya segera menjalani ujian saringan COVID-19. - Instagram radin_era
JIKA tarikh 22 Februari 2022 (22.02.2022) dianggap cantik dan istimewa untuk mencipta kenangan manis bagi kebanyakan orang, lain pula halnya dengan penyampai radio Era, Radin yang disahkan positif COVID-19.
Menerusi satu perkongsian di laman Instagram miliknya, Radin atau nama lengkapnya Amir Affendi Ahmad Aruani, 32, berkata, dia mengambil keputusan untuk membuat ujian saringan COVID-19 di klinik apabila berasa sedap hati selepas mengalami sakit tekak.
“Tarikh 22.2.22, hari ini orang lain punyalah excited. Ada yang bernikah, bersanding, menyambut hari jadi, malah ramai juga rakan-rakan selebriti yang menimang cahaya mata seperti Ernie Zakri, Syamel dan Kaka Azraff. Happy for you!!
“Tapi hari ini juga, menjadi tarikh yang menduga buat saya setelah disahkan positif COVID-19, apabila selesai buat ujian RTK (Real-Time Kinematic) di Kumpulan Megaklinik Zahran tengah hari tadi (Selasa).
“Simptom saya hanya sakit tekak apabila bangun tidur, kemudian terus buat saliva test, namun keputusannya negatif. Hati tak sedap, terus nak buat ujian swab dan keputusannya positif. Kini, badan baru nak rasa sengal-sengal sikit,” katanya.
Dalam pada itu, Radin juga memohon mereka yang menjadi kontak rapat dengannya segera menjalani ujian saringan COVID-19.
“Saya mohon maaf kepada individu-individu yang menjadi kontak rapat dengan saya. Untuk kerja, boleh menghubungi pihak pengurusan @era.je atau pengurus saya. Doakan saya,” katanya.
Terdahulu beberapa orang selebriti turut disahkan positif COVID-19 termasuklah Achey, Tomok, Fizie Molek FM, Wawa Zainal, Nadya Syahera, Datuk Fizz Fairuz, Datin Elvina, Azira Syafinaz, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.
Artikel asal di Sinar Harian
#positif COVID-19 #Radin Era #sakit tekak #ujian saringan
;