Doa Siti Nurhaliza termakbul, kembali berkolaborasi dengan David Foster
Asyraf Roslan
Jun 7, 2023 14:00 MYT
Jun 7, 2023 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Impian penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk kembali berkolaborasi bersama pemuzik dan komposer terkenal, David Foster akhirnya tercapai.
Siti mengakui bahawa sejak kali pertama dia berkesempatan berkolaborasi bersama Foster, dia mengharapkan itu bukanlah peluang terakhir buat dirinya.
"Saya pernah berkolaborasi bersama David Foster pada tahun 2014 untuk pertama kali tetapi pada ketika itu saya harap ia bukanlah kali pertama dan terakhir saya dapat berganding dengannya.
"Dan doa itu termakbul sekarang apabila saya berpeluang untuk satu pentas sekali lagi bersamanya dan pastinya saya akan lakukan yang terbaik untuk konsert ini," kata Siti semasa sidang media Konsert Hitman David Foster And Friends Asia Tour 2023 hari ini.
Pelantun lagu Jerat Percintaan itu juga memaklumkan bahawa dia dihubungi sendiri oleh pihak pengurusan Foster yang mempelawanya untuk berkolaborasi dalam konsert yang bakal diadakan di Malaysia dan Singapura.
Selain Siti, konsert itu turut menampilkan penyanyi antarabangsa, Michael Bolton, Peabo Bryson, Katharine McPhee serta Loren Allred.
Hasil jualan tiket ini juga akan disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar di menara gading yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf dan B40.
Konsert Konsert Hitman David Foster And Friends Asia Tour 2023 bakal berlangsung pada 7 Ogos 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Peminat juga sudah boleh mendapatkan tiket dengan harga RM288, RM388, RM488, RM688, RM788 dan RM988 di laman sesawang di www.myticket.Asia.