Doa jodoh cepat, Puteri Sarah terbuka andai bakal suami masih orang industri seni
Gempak
Julai 19, 2023 17:20 MYT
Julai 19, 2023 17:20 MYT
SELEPAS bercerai pada Jun lalu, pelakon Puteri Sarah Liyana berharap dia akan dipertemukan jodoh dengan cepat seperti rakan selebriti yang lain iaitu Nad Zainal dan Mizz Nina.
Malah pelakon drama Andai Itu Takdirnya turut berkongsi moto hidupnya yang tidak akan menoleh kembali kepada kisah lalu.
“Doakan saya semoga bertemu jodoh dengan cepat. Macam rakan artis yang lain iaitu Nad Zainal, Mizz Nina. Apa pun doakan saya akan dapat jodoh yang baik, yang boleh sayang saya dengan anak-anak.
“Moto hidup saya, no turning back (tidak akan berpatah kembali) dan terutamanya kembali pada kisah hidup yang lalu,” katanya ketika membuat siaran langsung di TikTok baru-baru ini.
Sementara itu, ditanya adakah dia terbuka sekiranya bakal suami merupakan seorang penggiat seni, bekas isteri kepada pengarah sensasi Syamsul Yusof itu menjawab dia tidak akan menidakkan hal tersebut.
“Saya tidak akan cakap tidak, kalau saya cakap tidak nanti tiba-tiba manalah tahu dapat,” ujarnya.
Terdahulu, kemelut rumah tangga yang melanda Sarah dan bekas suami Syamsul Yusof akhirnya menemui titik noktah apabila disahkan bercerai talak satu pada 14 Jun lalu.
Untuk rekod, Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 namun bercerai selepas empat tahun berlaku pergolakan.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5. -Gempak