DJ rancangan Ellen DeGeneres, Stephen 'tWitch' Boss meninggal dunia
Faida Rahim
Disember 15, 2022 11:41 MYT
Disember 15, 2022 11:41 MYT
LOS ANGELES: Deejay Stephen 'tWitch' Boss yang terkenal menerusi program bual bicara Ellen DeGeneres dilapor meninggal dunia pada usia 40 tahun.
Menurut Pemeriksa Perubatan LA County, Boss yang merupakan naib juara rancangan realiti "So You Think You Can Dance" meninggal dunia akibat kecederaan parah dengan kesan tembakan, semalam.
Isterinya Allison Holker Boss membuat laporan polis tentang kehilangan suaminya sebelum pasukan paramedik menerima panggilan kecemasan dari sebuah hotel di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Holker dalam kenyataannya memaklumkan pemergian suaminya itu yang menjadi tulang belakang keluarga.
“Dengan berat hati, saya maklumkan bahawa suami saya Stephen telah meninggalkan kami.
"Stephen membawa cahaya kegembiraan di segenap ruang. Mendiang amat menghargai keluarga, kawan dan komuniti, dengan penuh kasih sayang.
"Mendiang merupakan tulang belakang keluarga kami, suami, dan bapa yang terbaik serta memberi inspirasi kepada peminatnya,” kata Holker.
Sementara itu, DeGeneres dalam reaksinya berkata dia "patah hati" mendengar khabar pemergian rakan yang dianggap sebagai keluarganya sendiri itu.
“Saya amat patah hati. TWitch adalah cinta dan cahaya yang tulen.
"Dia keluarga saya, dan saya menyayanginya sepenuh hati. Saya pasti merinduinya.
"Sampaikan kasih sayang dan sokongan anda kepada Allison dan anak-anaknya yang cantik - Weslie, Maddox, dan Zaia," tulis DeGeneres di akaun media sosialnya.
Boss yang dilahirkan di Montgomery, Alabama meraih populariti luar biasa sebagai DJ dalam rancangan Ellen pada 2014 hingga Mei 2022 dan menjadi penerbit eksekutif program itu pada 2020.
Bos meninggalkan seorang balu bersama tiga cahaya mata iaitu Weslie Renae, 14; Maddox Laurel, 6; and Zaia, 3.