Dituduh menggatal dengan isteri orang, Sufian Suhaimi beri penjelasan
Gempak
Jun 11, 2017
10:41 MYT
Penyanyi Sufian Suhaimi tampil mengeluarkan kenyataan menerusi akaun sosial Twitternya selepas dituduh menggatal dengan isteri orang.
PENYANYI Sufian Suhaimi tampil mengeluarkan kenyataan menerusi akaun sosial Twitternya selepas dituduh menggatal dengan isteri orang.
Sufian, menerusi sebuah entri, telah memberi respon terhadap viral melibatkan dirinya selepas seorang lelaki memviralkan perbualan lelaki yang didakwanya Sufian dengan isterinya menerusi aplikasi laman sembang Bigo Live.
Menerusi kemas kini tersebut, Sufian menafikan mempunyai akaun Bigo seperti yang didakwa, serta turut menjelaskan paparan skrin 'video chat' yang dimuat naik lelaki tersebut di Twitter diambil daripada video live Instagramnya.
Kenyataan Sufian itu disokong pengikutnya di Twitter dan memberitahu paparan skrin seperti yang dimuat naik ‘suami orang’ tersebut boleh diedit.
Sementara itu, mungkin kerana tidak suka namanya dikaitkan, pelakon Elfira Loy turut memuat naik entri di Twitter membela Sufian dan mendoakan dosa orang-orang yang memfitnah, mengutuk dan mengeji diampunkan.
Dia turut menyifatkan perkara tersebut dilakukan individu terdesak yang mahukan ramai pengikut sehingga sanggup mereka-reka cerita dan diviralkan.
Dalam pada itu, peminat kedua-dua selebriti yang dikatakan sedang hangat bercinta ini pula berpendapat ‘suami orang’ yang mencetuskan kontroversi ini sengaja mencari publisiti murahan.
Mereka turut mempersoalkan motif lelaki tersebut ‘menyamar’ sebagai isterinya.
Selain itu Sufianators pula menyifatkan lelaki tersebut sengaja mengenakan penyanyi kesayangan mereka apabila memuat naik aksi isterinya sedang berbual dengan seorang lelaki yang kononnya Sufian menerusi sebuah panggilan video.
Sehingga kini, perdebatan di antara peminat Sufian dan pengikut Twitter masih hangat kerana masing-masing mahu mendapatkan cerita sebenar.