Dituduh 'jual air mata' untuk 'content', Siti Nurhaliza malas ambil pusing

Asyraf Roslan
Mac 27, 2024 14:20 MYT
Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan peduli dengan komen-komen negatif yang diberikan kepadanya - Foto IG/ ctdk
KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza enggan peduli dengan tuduhan panas netizen yang mendakwa beliau sengaja 'menjual air mata' untuk 'content' semata-mata.
Bagi Siti, dia benar-benar terkesan dengan apa yang berlaku kepada anak-anak di Palestin dan apa yang disuarakan, serta emosi beliau adalah ikhlas dari hati.
“Allah tahu tentang perasaan sebenar saya. Kalau dulu mungkin saya tak terasa sangat, tapi memandangkan saya memang dah terlibat dalam suasana ini dan saya memang dah ada keluarga... juga anak-anak yang belajar di Sekolah Afwa Al Afiyah (di Gaza) tu, mereka dah macam keluarga saya sendiri.
“Jadi secara tidak langsung, saya memang terkesan juga. Mungkin untuk orang yang tiada kena-mengena, mereka tak terdetik atau terasa pun, sedih tu sedih tapi tak masuk dalam kepala mereka.
“Tapi untuk saya, benda ni simpan dalam kepala saya, setiap hari saya tertanya-tanya tentang keadaan kanak-kanak di sana sama ada selamat ataupun tidak, takut dibom dan sebagainya.
“Jadi terpulang, tak perlu untuk saya balas balik apa yang orang katakan tentang saya. Bagi saya, apa yang saya suarakan adalah ikhlas daripada apa yang saya rasa,” katanya.
BACA: Yayasan Nurjiwa bantu lebih 10,000 rakyat Palestin setiap hari
Pada masa sama, Siti memberitahu sebagai ibu, dirinya mudah tersentuh apabila melihat kanak-kanak serta orang awam dibunuh secara kejam oleh rejim Zionis.
“Kita dapat lihat anak-anak kecil dan wanita-wanita kebanyakannya menjadi mangsa. Saya tak mampu lihat sebab saya seorang ibu dan saya mempunyai anak. Bila saya tengok budak kecil jadi mangsa, saya teringat Afwa dan Afiyah.
“Saya terbayang kalau Afwa dan Afiyah berada di tempat tu macam mana. Saya sebenarnya memang jenis yang cepat menangis juga, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan anak-anak,” kongsinya.
Siti ditemui di Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin yang bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.
Terdahulu, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu ini dilihat tidak dapat mengawal sebak apabila mengenangkan nasib anak-anak di Palestin sewaktu melakukan sesi siaran langsung di sebuah platform media sosial.
Bagaimanapun, perkara itu dijadikan isu oleh segelintir pihak yang menganggap bahawa emosi yang ditunjukkan itu hanya sekadar lakonan bagi meraih perhatian orang ramai.
#Datuk Seri Siti Nurhaliza #Palestin #Yayasan Nurjiwa #Gaza
;