Dituduh buat pembedahan plastik, model Taiwan saman syarikat pengiklanan
Kohilah Sekaran
Oktober 19, 2015 18:28 MYT
Oktober 19, 2015 18:28 MYT
Model Taiwan, Heidi Yeh telah memfailkan saman terhadap agensi pengiklanan J. Walter Thompson (JWT), syarikat penjagaan kesihatan Simply Beauty dan agensi bakat Taiwan atas satu iklan bercetak yang viral sehingga menjatuhkan imej diri serta menjejaskan kestabilan kerjayanya.
Heidi, yang mendakwa karier modelnya terjejas sejak 3 tahun lalu, telah mengadakan satu sidang akhbar minggu lalu untuk tampil mendedahkan kisah benar serta keputusan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut.
Iklan yang dimaksudkan adalah gambar pasangan suami isteri beserta tiga orang anak yang dilengkapi dengan kapsyen berkaitan pembedahan plastik.
Menurut Heidi, sejak foto itu jadi viral, dia kehilangan prospek majikannya kerana dikritik menjalani pembedahan plastik untuk mendapatkan tempat dalam industri hiburan serta fesyen.
Gambar Daily Seni
Model tersebut turut dikecam oleh orang ramai sehingga ada yang mengelarnya ‘plastik.’
Gambar Daily Seni
Heidi berkata gambar ‘photoshoot’ itu diambil untuk tujuan iklan bercetak dan tidak sepatutnya dikeluarkan atas talian. Tetapi malangnya, gambar itu menjadi satu bahan jenaka ‘meme’ di media sosial pada tahun lepas serta memberi inspirasi kepada pelbagai penulisan berkenaan prosedur kosmetik.
Syarikat penjagaan kesihatan Taiwan, Simple Beauty melancarkan iklan tersebut dengan kata tag, “Satu-satunya benda yang kamu akan risau adalah bagaimana untuk memberitahu anak-anak" (the only thing you’ll ever have to worry about is how to tell the kids).
Walau bagaimanapun, portal Shanghaiist melaporkan bahawa JWT berpotensi balas saman tersebut, dengan menyatakan bahawa kontrak Heidi dengan agensi itu mengesahkan JWT mempunyai hak cipta sepenuh foto tersebut.