Disyaki dijangkiti koronavirus, Ika Mustafa berdebar tunggu keputusan ujian darah
Gempak
Januari 28, 2020 18:00 MYT
Januari 28, 2020 18:00 MYT
PENYANYI baharu, Ika Mustafa mengakui tidak dapat melupakan pengalaman selepas terpaksa dikuarantin selepas disyaki dijangkiti wabak koronavirus.
Menurut Ika, ekoran itu, dia tidak boleh menerima pelawat memandangkan kawalan keselamatan ditingkatkan di persekitaran wad hospital di mana dia dirawat.
“Ini memang pengalaman yang tak boleh dilupakan sangat. Masa saya ingin dibawa ke wad, kawasan yang dilalui itu langsung tak boleh ada orang lain.
“Memang tempat dia terasing. Nak ke bilik saya wajib melepasi satu bilik dulu baru boleh masuk ke bilik saya.
“Jururawat pun kalau nak cakap dengan saya akan menerusi interkom. Kalau nak periksa suhu badan, tekanan darah dan hantar makanan baru akan masuk ke ruang bilik saya dengan berpakaian khas.
“Ahli keluarga saya hanya dibenarkan untuk hantar barang di tingkat bawah saja, jururawat yang akan turun ambilkan,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, pelantun lagu Damaikanlah berkata, dia amat bersyukur kerana kesihatannya menunjukkan perkembangan yang baik.
“Keadaan saya macam makin sihat. Cuma sekarang ini berasa gementar sangat sebab nak tunggu keputusan sama ada positif (wabak koronavirus) atau tidak. Saya sendiri tak tahu bila akan dapat keputusan itu,” katanya lagi.
Ika sebelum ini berkunjung ke Haikou, China atas urusan kerja pada 25 Januari lalu dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Ika, bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk dikuarantin selepas mengalami demam, batuk dan selesema kerana dipercayai pesawat tersebut turut dinaiki warga emas dari Wuhan iaitu wilayah di mana bermulanya penularan wabak koronavirus.