Disaman penonton, mahkamah arah David Copperfield dedah helah silap mata

Azyyati Ahmad
April 21, 2018 18:25 MYT
David disaman seorang lelaki Britain yang mendakwa mengalami kecederaan serius semasa mengambil bahagian di dalam persembahan Copperfield. - Foto REUTERS/Danny Moloshok
AHLI silap mata terkenal, David Copperfield diminta mahkamah untuk mendedahkan rahsia di sebalik helah silap matanya yang paling terkenal iaitu ‘Lucky #13’.
Lapor New York Post, ahli silap mata berusia 61 tahun itu disaman lelaki Britain yang mendakwa mengalami kecederaan serius semasa mengambil bahagian dalam persembahan Copperfield di MGM Grand Hotel pada tahun 2013.
Penerbit Eksekutif Copperfield, Chris Kenner bagaimanapun bertindak mendedahkan bagaimana helah "Lucky # 13" dilakukan.
Mengulas dari awal hingga akhir, beliau menjelaskan bagaimana Copperfield memilih 13 orang penonton secara rawak dan kemudian membawa mereka ke atas pentas dan duduk di sebuah platform.
Copperfield kemudian menutupi mereka dengan kain hitam dan akhirnya membuat kumpulan itu hilang.
Beberapa saat kemudian, Copperfield mengarahkan penonton untuk melihat ke belakang yang menunjukkan bahawa 13 penonton tadi berada di dalam cermin ilusi.
Perbuatan melenyapkan 13 penonton terpilih itu dilakukan dengan bantuan panggung, yang mana mereka dibawa melalui satu jalan tersembunyi setelah tirai dinaikkan.
Mereka kemudian dibawa melalui terowong rahsia MGM dengan bantuan lampu suluh dan akhirnya dibawa kembali ke teater melalui jalan belakang.
Bagaimanapun, peserta lelaki, Gavin Cox yang dipilih ketika itu mendakwa tercedera setelah terjatuh ketika melalui laluan sembunyi berkenaan sehingga mengalami kecederaan otak.
Dia mendakwa bahawa laluan yang dilalui dipenuhi dengan habuk tapak pembinaan dan debu menjadikan mereka sukar untuk bergerak.
Cox, bekas tukang masak untuk Keluarga Diraja Britain, mendakwa bil perubatannya berjumlah lebih AS$400,000 - dan kecederaannya mungkin akan kekal sepanjang hayatnya.
Perbicaraan sivil Copperfield dijangka diteruskan minggu hadapan.
#David Copperfield #Gavin Cox #Keluarga DiRaja Britain #Lucky 13 #Perbicaraan sivil #silap mata
;