Dirompak empat lelaki berparang, penyanyi Noryn Aziz trauma

Azyyati Ahmad
Ogos 9, 2014 15:09 MYT
Baru hari ini Noryn dapat berehat selepas dua hari tidak dapat melelapkan mata
Penyanyi Noryn Aziz yang ketika ini sedang sarat mengandung mengakui yang dia masih dilanda trauma dengan kejadian rompakan membabitkan empat lelaki berparang pada Rabu malam lalu.
Kejadian berkenaan terjadi di hadapan kediamannya di Damansara Heights di Petaling Jaya, Selangor sekitar jam 9:30 malam.
Ketika dihubungi, Noryn berkata baru hari ini beliau dapat berehat selepas dua hari tidak dapat melelapkan mata kerana masih lagi ketakutan.
Noryn berkata dia amat bersyukur kerana insiden tidak menjejaskan kandungan yang sudah mencecah 38 minggu.
“Ketika insiden berlaku, saya dan rakan-rakan terpaksa berlari masuk ke rumah untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Memang saya trauma apatah lagi memikirkan keadaan yang sangat bahaya itu berlaku ketika saya sedang sarat mengandung," kata Noryn yang dijangka melahirkan cahaya mata pertama hujung Ogos ini.
Sewaktu insiden, Noryn ada bersama-sama pelakon Siti Shahrizah atau Eja bersama anak kecilnya dan seorang bekas model Suhara dan bekas personaliti TV, Adriana yang juga bersama-sama anak kecilnya.
“Laporan polis sudah dibuat dan pengecaman pun telah dilakukan berpandukan kamera litar tertutup yang terpasang di rumah saya” kata Noryn.
“Saya buat majlis ‘pot luck’ untuk meraikan teman-teman rapat sebelum saya bersalin nanti. Ketika kejadian kawan-kawan sudah mahu berangkat pulang.
Sebaik saya masuk rumah, tiba-tiba dengar jeritan dan bila jenguk luar, beg tangan dan barang-barang kawan-kawan saya sudah dirampas. Memang panik dan huru-hara jadinya” tambah Noryn lagi.
Suami Noryn, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah terpakasa bergegas pulang dari Terengganu ketika mendapat tahu mengenai insiden yang menimpa isterinya itu.
Buat masa sekarang, kawalan keselamatan di sekitar rumah Noryn diperketat bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini seperti ini berlaku lagi.
Insiden itu telah mengakibatkan salah seorang pembantu rumah temannya cedera di bahagian kaki dan badan akibat dipukul salah seorang perompak berkenaan dengan alat tumpul.
Dalam pada itu, menurut portal murai.com.my, Eja yang terlibat mengakui turut mengalami kesukaran untuk tidur kerana masih trauma dengan kejadian samun atau rompakan yang berlaku.
Seperti Noryn, Eja memberitahu hampir dua hari dia tidak dapat melelapkan mata kerana kerana masih terbayangkan insiden tersebut.
Alhamdullah, baru semalam saya dapat tidur dan merehatkan diri kerana terus-terang saya juga trauma dengan kejadian itu.
“Bayangkan, perompak itu telah menghalakan parang ke muka saya dan menjerit dan mengerahkan saya untuk memberikan beg tangan saya dan kawan-kawan yang lain” kata Eja kepada Murai.
Eja berkata dia tiada pilihan lain selain memberikan sahaja tas tangan di tangannya kepada salah seorang perompak berkenaan kerana memikirkan keselamatan anak dan rakan-rakannya yang lain.
Anak lelaki Eja, Nur Eshal yang berada bersamanya ketika rompakan turut mengalami demam panas gara-gara terlalu terkejut dengan insident itu.
#Eja #Noryn Aziz #rompakan #Siti Shahrizah
;