Dipertikai guna kaedah IVF untuk dapat anak, isteri John Legend bidas netizen
Madiha Abdullah
Februari 1, 2017 11:45 MYT
Februari 1, 2017 11:45 MYT
CHRISSY TEIGEN, isteri penyanyi terkenal antarabangsa, John Legend, membidas netizen yang mempersoalkan mengapa dia dan suaminya perlu menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) untuk mendapatkan anak.
Teigen terpaksa bersuara sebagai menjawab soalan salah seorang pengikutnya di Twitter.
Peragawati terkemuka itu sebelum ini memberitahu sedang merancang untuk memperoleh seorang anak lagi bersama Legend.
Teigen tanpa berselindung menyatakan jika ia menjadi kenyataan, anak kedua mereka adalah lelaki.
Namun, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen, sehingga ada yang mempertikaikan mengapa pasangan itu terlalu bergantung kepada IVF untuk mendapatkan anak.
Dalam jawapan balasnya, kata Teigen, dia mencuba selama sembilan tahun untuk mendapatkan anak secara semulajadi, namun tidak berhasil.
Anak sulung mereka, Luna, sembilan bulan, dilahirkan melalui proses IVF.
Teigen sebelum ini cukup terbuka dalam memperkatakan isu kesuburannya, dan menyifatkan kesukaran mendapatkan cahaya mata adalah perjalanan yang sukar dan penuh beremosi.
"Jika sekalipun anda musuh ketat saya, saya tidak sanggup melihat anda melalui pengalaman seperti itu," ujarnya kepada majalah Self.