'Dihina, dikafir, dihukum masuk neraka' - Yana Samsudin sedih keluarga terpalit kontroversi
Astro Awani
Ogos 11, 2019 07:10 MYT
Ogos 11, 2019 07:10 MYT
PELAKON Yana Samsudin meluahkan rasa sedihnya apabila ahli keluarganya turut terpalit dalam kontroversi melanda sebuah telefilem terbitannya.
Luahan tersebut disuarakan menerusi ruang komen pada posting di Facebook milik pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin, lapor portal Gempak.
Dr Kamilin antara individu yang berkesempatan menonton telefilem tersebut bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, PU Hafiz dan ramai lagi ilmuan agama.
Menurut Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, dia terpaksa menanggung fitnah selama seminggu gara-gara isu tersebut.
"Saya sebak sebab teruk ahli keluarga dihina dikafirkan, dihukum masuk neraka. Seminggu tanggung fitnah," katanya pada ruang komen.
Untuk pengetahuan anda, Yana dan suaminya, Fadzil Zahari bertindak selaku penerbit telefilem itu di bawah produksi Prokuya Studios.
Sementara itu, menerusi posting Dr Kamilin, dia tidak merasakan sentimen negatif seperti dibangkitkan sesetengah netizen.
Menurut Kamilin, nilai pengajaran drama berkenaan jauh lebih dominan.
"Babak Hamid berada di pondok tahfiznya hanya pada awal cerita ketika menggambarkan situasi Hamid yang berusaha mencari ruang buat dirinya bertaubat.
"Saya tidak melihat ada unsur ‘serangan’ pada institusi tahfiz. Buli memang wujud pada mana-mana tempat yang masih ‘melekat’ budaya buli pelajar baru.
"Saya kira ramai bersepsi sedemikian kerana gambar berserban seperti kes Polis Evo 2 sebelum ini," katanya.
Telefilem itu berkisarkan kisah seorang mak nyah dijayakan pelakon Syafie Naswip yang cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama.
Kritikan terhadap Yana bermula apabila poster dan sinopsisnya disiarkan di internet.
Sebahagian netizen berpendapat drama tersebut memberi pandangan negatif khususnya terhadap agama Islam.
#ilmuan agama
#Kamilin Jamilin
#Norliana Samsudin
#PU Hafiz
#telefilem
#terpalit kontroversi
#Yana Samsudin
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri