Digosip bernikah dengan Annuar Musa, ini penjelasan Nora
Saharudin Musthafa
April 29, 2021 14:48 MYT
April 29, 2021 14:48 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Nora menegaskan, laporan yang tersebar luas di laman Twitter kononnya beliau sudah menikahi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak benar dan tidak masuk akal.
Kata penyanyi yang masyhur dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu, sebaik dimaklumkan oleh anak sulungnya, Muhammad Syakir Iman mengenai laporan tersebut, pada awalnya beliau tergamam.
Namun, bila memikirkan semula sepanjang tiga dekad menjadi artis sudah terlalu banyak gosip dan fitnah yang pernah diharungi membuatkan beliau kembali tenang.
“Saya tergelak juga bila membacanya, tapi dalam masa sama perkara itu sangat-sangat tidak masuk akal.
"Saya buat keputusan untuk mengabaikannya kerana itu hanyalah gosip semata-mata, tidak pernah berlaku apa yang dikhabarkan,” tegas Nora kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Nora kini sudah bernikah sehingga menyebabkan Muhammad Syakir tampil mempertahankan ibunya dengan menafikan Annuar kini bergelar ayah tirinya.
Nora didakwa bergelar isteri kedua tokoh politik itu.
Seperkara lagi, menurut penghibur kelahiran Kelantan itu lagi, beliau dengan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh juga mempunyai pertalian keluarga.
Dalam masa sama, isteri Annuar, Puan Seri Rosniah Ab Rahman juga, kata Nora, beberapa kali pernah memesan juadah yang dijualnya.
“Sangat tak masuk akal. Tolonglah jangan buat fitnah macam ini. Fikirkan hati orang lain, kasihan orang lain akan terpalit dalam cerita tidak betul seperti ini,” kata Nora lagi.
Nora, 48, yang kini semakin aktif menjalankan perniagaan makanan menegaskan, semenjak kehilangan suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi sekitar empat tahun lalu, beliau masih sendirian.
“Saya banyak beri tumpuan pada kerjaya nyanyian, buat berniaga sikit-sikit, promosi produk di Instagram, masa terluang bersama anak-anak dan cucu. Saya tak terfikir pun soal kahwin,”jelas Nora lagi.
Johan yang juga seorang komposer ternama tanah air meninggal dunia pada 24 Mac 2017.
Sementara itu, Nora memohon pihak yang mencetuskan berita palsu mengenai pernikahan beliau dengan Anuar agar berhenti daripada bercakap hal-hal fitnah.
“Dalam bulan penuh kemuliaan ini eloklah kita fokus pada amal ibadah, janganlah sibuk bercakap hal orang lain. Apa pun saya maafkan orang yang menyebarkan berita palsu ini,” kata Nora.
#Nora
#Annuar Musa
#penyanyi
#Menteri Wilayah Persekutuan
#bernikah
#Nora bernikah
#isteri kedua Annuar Musa
#Di Persimpangan Dilema