Diet keras demi watak dalam Tombiruo, Zul Ariffin turun 13kg

Gempak
Ogos 19, 2016 20:00 MYT
Wajah terbaru Zul Ariffin yang kini menjalani rutin kecergasan intensif. - Foto Astro Gempak

PELAKON Zul Ariffin terpaksa menurunkan berat badan dan membina six pack untuk watak menjiwai watak yang dilakonkan dalam filem terbarunya, Tombiruo.

Zul Ariffin yang memegang watak sebagai Ejim atau Tombiruo berkata, dia berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 13 kilogram (kg) dalam masa tiga minggu.
"Cabaran terbesar apabila produksi meminta saya 'kecilkan' sedikit saiz badan dan saya terpaksa makan satu kali sehari sedangkan saya seorang yang kuat makan.
"Dalam masa sama saya perlu mengekalkan bentuk tubuh kerana Ejim atau Tombiruo digambarkan sebagai seorang lelaki hutan yang memiliki tubuh sasa.
"Saya perlu realistik untuk menjayakan watak tersebut kerana tidak logik seorang lelaki yang tinggal di dalam hutan mempunyai tubuh terlalu kekar.
"Tidak mudah untuk saya kerana perlu mendapatkan six pack dalam masa yang singkat, namun demi tuntutan tugas saya lakukannya," kata Zul Ariffin ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut di First Avenue, Bandar Utama pada petang Jumaat.
Tambahnya lagi, dia turut mengalami kecederaan ligamen pada hari ketiga penggambaran.
"Mungkin kerana diet 'keras' yang diamalkan, sendi otot saya kering sehingga menyebabkan kecederaan pada ligamen.
"Saya terpaksa berehat selama dua minggu di hospital dan beberapa babak terpaksa digantikan dengan pelakon gantian," ujarnya.
Dalam pada itu Zul Ariffin mengaku kekok berlakon tanpa pakaian.
"Agak kekok pada awalnya kerana dalam filem ini saya tak pakai baju tetapi sebagai seorang pelakon yang profesional ini adalah tuntutan tugas yang perlu dipenuhi.
"Tidak perlu dijadikan isu atau kontroversi kerana itu kostum Tombiruo. Lagipun Tombiruo memakai seluar di bawah paras lutut," katanya.
Selain Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda turut diangkat sebagai teraju utama filem adaptasi novel karya Ramlee Awang Murshid.
Pelakon lain yang terlibat dalam filem ini ialah Hasnol Rahmat, Datuk M.Nasir, Datin Marlia Musa, Faizal Hussein, Dynas Mokhtar, Faye Kusyairi, Michael Chan, R Azmi dan pelakon kanak-kanak Rayyan yang membawakan watak Ejim dan Amiruddin kecil.
Filem ini sudah memasuki tiga minggu penggambaran dan bakal menemui penonton pada 2017.

#filem #filem adaptasi novel #novel #Ramlee Awang Murshid #Tombiruo #watak #Zul Ariffin
;