Didiagnosis dengan ‘mild depression’, Dina Nadzir hilang kawan
Gempak
Mei 21, 2024 13:36 MYT
Mei 21, 2024 13:36 MYT
PENYANYI dan penyampai radio, Dina Nadzir berkongsi bahawa dirinya kehilangan beberapa orang rakan dalam hidupnya selepas didiagnosis dengan kemurungan.
“Saya ada hubungi semua orang, dan ada antara kawan saya yang saya hilang..."
Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 39, berkata perkara itu terjadi apabila dirinya sering kali menghubungi beberapa orang rakan untuk menceritakan permasalahan yang dilalui, namun tindakannya itu dianggap sesuatu yang merimaskan.
“Saya tak pernah ada niat untuk bunuh diri, tetapi pakar psikiatri beritahu yang saya tak boleh mengubah fakta bahawa saya tak boleh bekerja, saya tak boleh berfungsi dengan baik dan saya nampak resah.
“Saya ada hubungi semua orang, dan ada antara kawan saya yang saya hilang. Sebab mereka tak faham dan mereka jadi rimas. Mereka tanya ‘kenapa awak hubungi dan mesej hari-hari?’.
“Saya nak cerita tapi ada orang rasa benda tu remeh. Saya tak boleh nak tidur, tengok TV tak boleh, baca Al-Quran pun tak boleh semua saya dah cuba, tapi semua serba tak kena,” ujarnya.
Sementara itu, Dina ketika ditemui semasa majlis rumah terbuka anjuran Suria Records yang berlangsung di Cheras, Selangor, sempat berkongsi bahawa dirinya nekad untuk berubah dan melakukan beberapa aktiviti baharu demi mengatasi masalah yang melanda kehidupannya.
"Kemurungan juga buat saya ambil langkah untuk berubah dan perkara pertama saya buat adalah potong rambut,” katanya.
Turun Berat Badan
Selain itu, Dina turut menyatakan bahawa dirinya turun berat badan sebanyak 10 kilogram selepas mengamalkan diet sihat selama tempoh lebih dari sebulan.
"Saya amalkan diet dan Alhamdulillah berat badan saya dah turun sebanyak 10 kilogram dalam tempoh lebih sebulan.
"Sekarang saya sasar nak capai berat badan bawah 100 kilogram," katanya lagi.
*Artikel disiarkan di Gempak