Didi & Friends rangkul anugerah 'Program Prasekolah Terbaik' di Asian Television Awards ke-24
Asyraf Roslan
Januari 14, 2020 19:57 MYT
Januari 14, 2020 19:57 MYT
KANAK-KANAK atau mungkin anda sendiri pasti mengetahui melodi lagu Bingo dan juga Mengantuknya Mumia, bukan?
Sudah pasti lagu-lagu tersebut meraih populariti sejak siaran siri kanak-kanak popular iaitu Didi & Friends terbitan Digital Durian.
Terbaharu rancangan tersebut telah berjaya memenagi anugerah 'Program Prasekolah Terbaik' di Asian Television Awards ke-24 di Manila.
Program muzikal berbentuk 'Edutainment' tersebut berjaya mengalahkan pencalonan lain dari negara China (‘Fashion Kids’ dan ‘Flying Fairground’), dan Jepun (‘Shimajirō no Wow!’) .
Siri animasi Islamik popular, Omar & Hana terbitan Digital Durian juga turut tercalon dalam kategori sama.
Menurut Naib Presiden GenNext & Perniagaan Antarabangsa Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Astro sentiasa komited dalam menyajikan pelbagai kandungan menarik yang bersifat santai, berinformasi dan kreatif untuk penonton generasi muda.
Pada masa sama, beliau turut mengharapkan kemenangan siri animasi ini dapat memberi inspirasi kepada pemain industri.
"Kami berharap, dengan kemenangan ini, ia akan memberi inspirasi kepada pemain industri di luar sana untuk sama-sama berusaha menyediakan hasil kerja terbaik yang bukan sahaja berpotensi untuk merekodkan tanda aras baharu bagi segmen kandungan prasekolah, malahan membantu membentuk satu ekosistem selamat untuk tontonan kanak-kanak," katanya melalui satu kenyataan media.
Asian Television Awards ke 24 telah berlangsung di Manila, Filipina pada 10 Januari lalu.