Didakwa hidap artritis, Sheila Majid kesal ada pihak reka cerita palsu untuk promosi produk
Gempak
Julai 5, 2024 19:08 MYT
Julai 5, 2024 19:08 MYT
PENYANYI Datuk Sheila Majid meluahkan rasa kesal apabila terdapat laporan berita palsu yang mendakwa dirinya menghidap penyakit artritis.
Merepek
Menurut Sheila Majid, 59, dia berasa kecewa susulan dakwaan yang direka bertujuan mempromosikan satu produk kesihatan.
“Merepek! Ini adalah berita palsu. Jika saya benar menghidap sakit ini, ia telah dilaporkan lima tahun dahulu.
"Kenapa tidak jujur dalam menjual barang. Tiada keyakinan sehingga menggunakan nama saya,” jelasnya.
Pelantun lagu ‘Dengarkanlah’ itu mendedahkan yang dia sedang menjejaki pelaku di sebalik penyebaran berita palsu berkenaan.
“Saya mencari pelaku sejak berita palsu ini tersebar tentang saya menggunakan produk diet untuk kekal langsing. Namun tidak jumpa.
"Saya tidak jumpa sumbernya. Mereka tahu bagaimana untuk menipulasi sistem dan menyembunyikannya,” katanya.
Masih sihat
Sementara itu, Sheila sempat memberitahu dirinya berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit pada waktu ini.
Terdahulu, tular berita yang mendakwa penyanyi itu menghidap penyakit artritis, namun sudah pun beransur pulih sejak lima tahun lalu. -Gempak