Didakwa ceroboh rumah bekas isteri dan beri ancaman maut, bekas CEO telco dan penyanyi ditahan

Gempak
Mei 16, 2019 06:29 MYT
Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa telah memecahkan pintu hadapan rumah bekas isterinya sebelum berlaku pertelingkahan dan kekecohan. - Gambar hiasan
SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi dan ahli muzik tempatan, ditahan pihak polis kerana didakwa menceroboh rumah bekas isterinya.
Difahamkan, penyanyi terbabit ditahan antara pukul 5.30 petang dan 7 malam, selepas dipanggil untuk disoal siasat di Balai Polis Hulu Kelang pada Khamis, lapor The Star.
Menurut sumber, pihak polis sedang menyiasat individu tersebut di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, selepas menceroboh rumah bekas isteri dan mengeluarkan ancaman maut.
Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa telah memecahkan pintu hadapan rumah bekas isterinya sebelum berlaku pertelingkahan dan kekecohan.
Bagaimanapun, kekecohan tersebut berakhir selepas pengawal keselamatan yang mendengar pertelingkahan bekas pasangan suami isteri itu campur tangan.
Dia juga memiliki rekod jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asst. Comm. Fadzil Ahmat, ketika dihubungi mengesahkan, ada penangkapan dilakukan.
"Ya, ada kes pencerobohan,” katanya.
Pemuzik tersebut ditahan reman selama empat hari oleh polis untuk membantu siasatan. - Sumber The Star
#CEO #Dadah #jenayah #keganasan #keselamatan #maut #penyanyi ditahan #polis #siasatan #telco
;