Diburu Ah Long, 300 penggiat seni tempatan minta bantuan - Presiden Seniman
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 9, 2018 14:54 MYT
Januari 9, 2018 14:54 MYT
Lebih kurang 300 penggiat seni di negara ini sedang dikejar Ah Long.
Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi jumlah aduan terkumpul yang diterima persatuan tersebut melewati pertengahan tahun 2015 hingga 2017.
"Mereka membuat aduan kepada Seniman untuk mendapatkan kerjasama agar keselamatan mereka terbela," katanya.
Ketika ditanya apakah punca yang menyebabkan perkara ini terjadi, Zed berkata punca pencarian sumber rezeki mereka terjejas dek kerena limpahan penggiat seni di negara ini.
"Faktor peluang yang kurang dalam industri ini diumpamakan sebagai satu pentas dikongsi dengan 10,000 penggiat seni. Jadi bagaimana mereka mahu sara diri?
"Apatah lagi pada masa ini terdapat lambakan graduan dari fakulti-fakulti seni yang turut mencari pekerjaan dalam industri ini," ujar Zed.
Tambahnya lagi, Seniman bukan persatuan untuk mencari kerja atau show kepada penggiat seni tetapi mencari peluang pekerjaan buat mereka.
"Terbaharu saya ke Indonesia bersama Seniman bagi mencari peluang untuk penggiat seni di negara ini bekerja di dalam industri negara mereka," tambahnya.
Menurutnya lagi, anak seni negara ini perlu menjadi serba boleh agar dapat diterima dalam industri.
"Mereka perlu menjadi versatil dan multi-talented. Mereka perlu cuba pelbagai bidang dan bukan hanya tertumpu kepada satu.
"Mereka harus cuba menjadi penyanyi, pelakon, pelawak, pengacara agar sumber pendapatan mereka bertambah," tegasnya.
Baru-baru ini, akhbar Metro Ahad melaporkan lebih kurang 300 penggiat seni tempatan kini menjadi buruan ceti haram di negara ini.
Laporan itu turut melampirkan jumlah statistik artis yang terlibat dengan anggaran pinjaman mencecah RM10,000.
#anak seni
#Harian Metro
#hiburan
#pelakon
#pelawak
#Pengacara
#penyanyi
#Persatuan Seniman Malaysia
#Seniman
#sumber pendapatan
#Zed Zaidi