Diana sertai kursus perfileman di New York Film Academy
Astro Awani
Disember 10, 2018 10:24 MYT
Disember 10, 2018 10:24 MYT
JIKA tiada aral melintang, pelakon terkenal, Datin Diana Danielle akan mengikuti kursus jangka pendek di New York Film Academy (NYFA) kampus Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada sekitar Julai tahun depan.
Isteri kepada pelakon Datuk Farid Kamil itu memberitahu, tempoh pengajian itu akan mengambil masa selama dua bulan.
Menurut pelakon filem Hanyut itu, sudah lama dia menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman dan impian itu akhirnya akan direalisasikan.
"Insya-Allah sekiranya tiada sebarang masalah saya akan berangkat ke Los Angeles pada Julai tahun hadapan untuk mengambil kursus jangka pendek dalam bidang penerbitan filem.
"Memang sudah lama saya pasang hasrat untuk sambung belajar dan Alhamdulillah hasrat itu akhirnya bakal terlaksana," kata pelakon berusia 27 tahun itu seperti dilaporkan portal Mstar.
Diana turut memberitahu, pemergiannya ke AS bagi menjalani kursus itu ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebagai imbuhan kemenangannya menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Hanyut) Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) tahun lalu.
Memandangkan dia akan menjalani kursus selama dua bulan, Diana berkata, suami dan dua orang anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora akan dibawa bersama.
"Memandangkan kursus itu mengambil masa dua bulan jadi rasanya lebih baik saya bawa keluarga bersama-sama.
"Sambil itu bolehlah kami bawa anak-anak melawat tempat menarik di Los Angeles dan mungkin akan kembali ke Malaysia pada hujung tahun," ujarnya.
Sebelum ini pada 2011, Diana pernah mengambil kursus lakonan di NYFA, Los Angeles sebelum menyambung pengajiannya dalam bidang Produksi Siaran Langsung di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia pada 2013.
#Amerika Syarikat
#Diana Danielle
#Farid Kamil
#Festival Filem Malaysia
#FINAS
#hanyut
#kursus perfileman
#New York
#New York Filem Academy
#pelakon
#Pelakon Pembantu Wanita Terbaik