Diana Danielle jawab dakwaan ubah wajah
Sinar Harian
Ogos 25, 2023 19:32 MYT
Ogos 25, 2023 19:32 MYT
PELAKON dan penyanyi Diana Danielle memilih untuk tidak memberi sebarang justifikasi berhubung dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia mengubah hidung.
Wanita berusia 32 tahun itu bagaimanapun mengakui mempunyai masalah ketidakyakinan pada bahagian tubuhnya.
“Saya memang ada ketidakyakinan berkaitan tubuh badan saya dan saya rasa itu adalah normal.
“Tidak kira betapa sempurna anda rasa atau orang lain rasa, mesti akan ada rasa tidak yakin dengan diri sendiri.
“Saya ada cara tersendiri untuk mengatasinya dan saya rasa tidak perlu untuk jelaskan secara terperinci. Kalau nak tahu mungkin boleh mesej secara peribadi,” jelasnya.
Diana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik terbaharunya, Bersama Dengan Rindu di Loud Speaker, Datum Jelatek Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Tiga hari lalu, netizen mendakwa Diana mengubah bahagian hidungnya ketika tampil di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi menghadiri prosiding tuntutan hadanah atau hak penjagaan anaknya bersama bekas suami, Farid Kamil.
Mahkamah Tinggi Syariah kemudian mengeluarkan perintah hak penjagaan penuh melibatkan Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 8, kepada Diana selepas mereka bercerai talak satu pada 10 Ogos menerusi aplikasi atas talian, Google Meet.
Dalam pada itu, selepas lapan tahun tidak tampil dengan single solo berbahasa Melayu, Diana akhirnya mengubati kerinduan menerusi lagu berjudul Bersama Dengan Rindu (BDR).
Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong itu di bawah terbitan syarikat rakaman, Universal Music Malaysia.
“Saya memilih untuk keluarkan lagu BDR ini sebab saya sukakan melodi dan lirik. Lagu ini menceritakan mengenai cinta yang semakin lama semakin jauh atau renggang. Ia menggambarkan perasaan perit apabila kehilangan orang yang dicintai dan harapan yang masih ada walaupun ditinggalkan.
“Bagaimanapun ia tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati,” ujarnya. - Sinar Harian